Industri seni negara dikejutkan dengan perkhabaran mendukacitakan selepas kehilangan satu lagi anak seni, Ridzuan Hashim yang menghembuskan nafas terakhir semalam.
Rentetan itu, netizen kembali melihat semula video sambutan hari raya Ridzuan bersama anak-anaknya di sebuah vila di Melaka dua minggu lalu.
Selepas bercerai dengan Didie Alias 21 tahun lalu, boleh dikatakan itu kali pertama sambutan hari raya secara besar-besaran oleh Didie bersama Ridzuan.
Menerusi video berkenaan, Ridzuan, 62, kelihatan tidak bertenaga malah anaknya sempat merakamkan pelakon dan bekas model itu duduk di tepi kolam renang sambil termenung.
Arwah juga kelihatan tidak bermaya ketika berbual, selain kelihatan sugul dan tidak bersemangat walaupun dikelilingi suasana meriah sempena Syawal dan saudara mara.
Ridzuan juga dilihat seakan-akan memberikan senyuman tawar ketika bergurau senda bersama anaknya yang seolah-olah bukan kebiasaan sifat dirinya.
Malah ketika bergambar kenangan bersama seluruh ahli keluarga, arwah dilihat memencilkan diri dengan berdiri di tepi tangga dan kelihatan tidak bersemangat ketika membuat ucapan hari raya.
Ketika bergambar kenangan bersama seluruh ahli keluarga, arwah dilihat memencilkan diri dengan berdiri di tepi tar dan kelihatan tidak bersemangat ketika membuat ucapan hari raya.
Allahyarham dilahirkan pada 13 Ogos 1961 di Kuala Lumpur dan berkahwin dengan Didie pada tahun 1991 namun perkahwinan mereka hanya bertahan sehingga 2002.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan lima orang anak iaitu Nur Dhaniyah, 30, Muhammad Dhanial, 29, Nur Dinie, 27, Nur Danie, 25 dan Nur Diana, 24 tahun.
Antara filem lakonan Allahyarham ialah Antara Dua Hati (1988), Hati Bukan Kristal (1990), Lurah Dendam (1996), Ghazal Untuk Rabiah (1997), Sri Dwi Malam (2001), Cinta 200 Ela (2002) dan KL Gengster.
Beliau juga pernah memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik FFM ke-9 menerusi filem Hati Bukan Kristal.