Video Seks: Azmin sudah beri keterangan pada pihak polis, kata peguam

Video Seks: Azmin sudah beri keterangan pada pihak polis, kata peguam
N.Surendar

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, telah memberikan kenyataannya berhubung penularan video intim yang didakwa miripnya, kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.

Perkara tersebut dimaklumkan peguamnya, N Surendran yang menyatakan ia sebagai membantu pihak berkuasa dalam menjalankan penyiasatan terperinci.

Katanya, kenyataan dibuat selepas pejabat menteri dihubungi polis pada Ahad, iaitu 16 Jun untuk merakamkan kenyataannya sebagai sebahagian daripada siasatan.

“Saya merujuk kepada laporan polis Setiausaha Politik Mohamed Azmin, yang menyeru agar siasatan dilakukan ke atas penyebaran video seks palsu berkenaan. Video itu adalah serangan fitnah terhadapnya yang berunsurkan politik semata-mata.

“Mengutamakan perkara itu, semalam pada 17 Jun, Mohamed Azmin telah memberi kenyataan kepada polis untuk membantu mereka dalam meneruskan penyiasatan.

“Terdapat tanda-tanda yang jelas iaitu percubaan yang teratur dan sistematik untuk menjatuhkan Menteri dengan serangan palsu dan berniat jahat ini. Pelakunya juga dipercayai mempunyai akses kepada data peribadi ahli-ahli parti yang menunjukkan terdapat agenda politik yang jelas,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan, pihaknya akan menyerahkan segala siasatan kepada pihak polis untuk mengenal pasti dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pelaku yang bersalah.