Video seks: MP Pasir Gudang mahu PM, KPN,AG tidak bertangguh laksana keadilan

Video seks: MP Pasir Gudang mahu PM, KPN,AG tidak bertangguh laksana keadilan
Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri), Datuk Hamid Bador (tengah) Tommy Thomas (kanan).

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mahu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak bertangguh lagi dalam melaksanakan keadilan terhadap isu video seks seorang Menteri Kanan Kabinet yang tersebar bulan lalu.

Beliau menuntut supaya Peguam Negara (AG), Tommy Thomas yang berperanan sebagai Pendakwa Raya supaya menjalankan tanggungjawabnya tanpa takut dan pilih kasih untuk melakukan pendakwaan bagi setiap kesalahan jenayah berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang.

Beliau turut meminta supaya Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Abdul Hamid Bador untuk menjalankan tugas secara profesional tanpa memilih bulu.

Hassan Karim

“Masa telah lebih dari cukup untuk pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelesaikan kertas siasatannya dan menyerahkan kepada Pendakwa Raya untuk memulakan tindakan pendakwaan.

“Dari segi fakta yang ada setakat ini, ada seorang saksi yang material dan teramat penting yang telah mengaku tanpa paksa bahawa dialah yang menjadi salah seorang pelaku dalam kes hubungan seks itu.

“Jika pihak KPN dan AG serta Pendakwa Raya gagal dalam menjalankan tugasnya berhubung isu video seks semburit itu, maka mereka berdua telah melakukan satu kesalahan besar di bawah undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menyifatkan bahawa segala keputusan kini berada di tangan kedua-dua ketua agensi kerajaan berkenaan yang telah diamanahkan oleh Perlembagaan Persekutuan bagi pihak rakyat dan Yang di Pertuan Agong.

Malah katanya, ia menjadi tanggungjawab supaya ketua agensi itu menjalankan tugasnya di bawah undang-undang bagi perlaksanaan sistem keadilan di Malaysia menurut asas Kedaulatan Undang-Undang dan keluhuran Perlembagaan.

“Tidak perlu seseorang untuk menjadi peguam atau pakar undang-undang terlebih dahulu untuk memahami bahawa bola sekarang berada di gelanggang KPN dan juga AG.

“Masa telah sampai untuk PM, AG yang merangkap Pendakwa Raya dan KPN untuk membuktikan kepada rakyat Malaysia dan dunia antarabangsa bahawa sesungguhnya anda semua telah menjalankan tugas dan amanah mempertahankan Perlembagaan Persekutuan Malaysia kerana berani menegakkan kedaulatan undang-undang,” ujarnya.