Video seks: Pihak berkuasa mohon khidmat CyberSecurity Malaysia

Video seks:  Pihak berkuasa mohon khidmat CyberSecurity Malaysia
Amiruddin Abudl Wahab

CyberSecurity Malaysia (CSM) menerima permohonan pihak berkuasa untuk membantu menganalisis video lucah dikaitkan dengan seorang menteri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amirudin Abdul Wahab berkata pihaknya sebagai agensi teknikal sedia memberi bantuan teknikal seperti diminta pihak berkuasa.

“Kami di CSM mempunyai kepakaran forensik teknologi IT seperti audio dan video untuk membantu menganalisis bahan itu,” katanya selepas perasmian Persidangan Pertahanan Siber 2019 hari ini.

Amirudin bagaimanapun enggan mengulas lanjut butiran mengenai perkara itu, namun berkata pihaknya sentiasa bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

“Saya tidak mahu bercakap lebih lanjut. Ini hanya permohonan untuk membantu, jadi saya tak mahu ulas dengan lebih lanjut, jadi serah kepada pihak berkuasa (polis),” katanya.

Beliau berkata, tempoh untuk menganalisis aspek teknikal video itu bergantung kepada tahap kerumitan bahan berkenaan.

Minggu lalu, beberapa klip video tersebar di media sosial menyasarkan seorang menteri dan seorang lagi lelaki dengan polis menerima beberapa laporan mengenainya.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Mazlan Mansor dilaporkan berkata sebuah pasukan petugas khas yang diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed dan dianggotai Jabatan Forensik polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, ditubuhkan untuk menyiasat kes video lucah itu.