Video Seks: Semua pihak bertenang elak hilang keyakinan rakyat, kata Dr Zaidi

Video Seks: Semua pihak  bertenang elak hilang keyakinan rakyat, kata Dr Zaidi

Semua pihak tidak harus melatah dan senantiasa bertenang dalam isu video seks yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini,kata Ketua AMANAH Kawasan Permatang Pauh, Dr Zaidi Zakaria.

Beliau berkata, apa yang lebih perlu diberi prioriti ialah tidak memburukkan keadaan sehingga hilangnya keyakinan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH).

“Matlamat video ini tiada lain hanyalah bermotifkan politik bagi menjatuhkan seseorang atau sebuah parti maupun sebuah kerajaan.

“Dalangnya tidak lain melainkan orang politik juga yang menjadi musuh politiknya.

“Manakala musuh politik tersebut kemungkinannya dari dalam partinya maupun dari luar atau parti lawan, ” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau tidak menafikan dunia politik Melayu Muslim negara ini, sekali lagi terpalit dengan politik keji yang bertujuan untuk mengaibkan musuh politik.

Menurut Dr Zaidi lagi, apa jua alasannya, politik keji sebegini tetap memberi impak negatif kepada PKR khususnya dan juga komponen PH serta kerajaan Pusat yang menunjangi pentadbiran.

“Kemungkinan juga pemain-pemian handalan politik ini tidak ‘membaca kitab’ sehinggakan tergamak untuk melacurkan diri di lembah yang penuh dengan kehinaan dan terkutuk.

“Meskipun begitu, isu video seks ini wajib disiasat dengan penuh tanggungjawab oleh pihak polis maupun SPRM, sekiranya perlu.

“Yang terbaik bagi pimpinan PH ialah tidak mengeluarkan kenyataan media yang boleh mengeruhkan suasana seperti kenyataan berupa persepsi dan prejudis antara satu sama lain yang boleh menyebabkan wujudnya perpecahan, ” katanya.

Tambah Dr Zaidi lagi, mana-mana parti boleh menjalankan siasatan dalaman parti masing-masing kerana setiap parti mempunyai hak masing-masing.

“Sayugia diharapkan ianya tidak didedahkan kepada media sehinggalah terbukti bersalah atau sebaliknya.

“Harus diingati suatu ketika dulu, Pakatan Rakyat hanya mempunyai 3 parti dan satu bermasalah semuanya terpalit lalu tersungkur bersama.

“Kini PH mempunyai 4 parti laksana sebuah kerusi dengan 4 buah kaki, seandainya 1 kaki longgar skrunya, sudah pasti kerusi tetap tidak stabil dan terhoyong-hayang, ” saran beliau.

Oleh kerana itu gesa beliau, episod ‘video gila’ ini boleh memberi impak negatif yang amat besar kepada PH dan ianya menuntut kebijaksanaan semua pihak untuk meminimakan impak dan kesan buruk tersebut dengan kadar yang segera.

Pada 12 Jun Haziq Abdullah Abdul Aziz yang juga setiausaha sulit kanan Shamsul Iskandar Md Akin itu mendakwa video tular perlakuan seks membabitkan dirinya dengan seorang menteri kanan dalam PH yang tersebar pada 11 Jun menerusi applikasi whatapps adalah dirinya.

Beliau mengakui perlakuan sumbang itu dilakukan di Hotel Four Points, Sandakan pada pilihan raya kecil di negeri itu pada 11 Mei.

Justeru pihak polis telah memanggil Haziq dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk memberikan keterangan mengenai video seks yang menjadi tular dan perdebatan awam di media sosial.