Malaysia Dateline

Video: Siapa salah jika politik dianggap jijik?

Bergegar corong politik dengan pecahnya berita skandal terbaharu pemimpin kita. Telefon bimbit ikut berdering; biar entah apa kaitnya diri saya dengan drama yang sedang dipentaskan. Kalau tidak wartawan, teman-teman juga tidak henti-henti menghubungi.

Soalannya tetap juga sama baik dari siapa pun. Sahih ke tidak? Kenal ke tidak? Aduh … gawat!

Saya letakkan begini ajalah; biar yang lebih berkuasa dan berkewajipan menentukan sahih atau tidak, salah atau tidak.

Bukan tugas kita untuk menjadi penyiasat, pendakwa, juri, dan hakim. Yang menuduh dan yang tertuduh itu bukan watak fiksyen; mereka manusia sebenar yang ada keluarga, ada maruah, dan ada aib untuk dijaga.

Membawang perihal mereka sehingga terlupa batas dalam menjaga maruah seseorang amatlah tidak kena dengan pekerti yang kita perjuangkan selama ini. Buat apa meletakkan diri kita serendah itu?

Demikian pun, hati tetap kecewa dan marah dengan apa yang berlaku. Sementelah kita diberi peluang yang amatlah besar; berubah dan mengubah duduk letak negara kita — alang sayang kita masih lagi tetap dengan buruk yang sama.

Berdekad lalu, politik malah masyarakat kita ternoda fikrahnya dengan politik sumbang sebegini. Bertahun juga kita terpaksa menebalkan muka dan wajah melihat bagaimana politik kita ini tidak mampu keluar dari kepompong yang sama — kepompong politik lucah.

Dunia menilai fikrah politik kita seolah terhad terhadap sensasi lucah disulami permainan kotor semata.

Apabila lahir generasi baharu politik negara dalam beberapa tahun ini, seharusnya kita boleh mula menarik nafas lega.

Sering sekali generasi ini menampilkan sikap yang berlainan; “bahawa kami ini generasi yang mual dengan politik lama, tidak mungkin kami mahu menyerah kepada amalan busuk yang lama.”.

Inilah seolah-olah sumpah keramat generasi muda-mudi ini. Sumpah yang menjadi harapan baharu dalam naratif politik kita. Siapa sangka, sebaik berkerajaan yang baharu, pecah terburai semua sumpah dan keramat. Sama sahaja akhirnya.

Kita terlalu kekok untuk menahan diri daripada menyerah kepada jalan gelap sedemikian. Kita lebih mahu dan lebih selesa mengambil jalan mudah dengan mengorbankan moral dan etika kita.

Benarlah — kalau boleh dibenamkan musuh sedalam-dalamnya, buat apa nak berlaku baik kepada mereka?

Rugi benar rasanya — ada anak-anak muda yang baru sahaja lepas persekolahan. Mengikut rencana, mereka inilah yang akan menjadi generasi pengundi baharu, pengundi berusia 18 tahun yang pertama dalam sejarah negara kita. Kita berpeluang memberi mereka pengalaman politik yang baik dan berhemah.

Sayangnya, untuk mempertahankan pemimpin-pemimpin tua kita, kita sudahpun mengorbankan pengalaman politik mereka.

Tidak ada untung apa pun dari amalan politik sebegini. Buat siapa sahaja yang terlibat dan merestui apa yang sedang berlaku — andalah yang merosakkan politik sehingga dijauhi masyarakat.

Maka janganlah marah apabila masyarakat kita buta politik.