Video tular kaitkan Menteri Kesihatan secara melulu dibidas

Video tular kaitkan Menteri Kesihatan secara melulu dibidas

Ahli Jawatankuasa Pemuda AMANAH Melaka menegur seorang individu yang memuatnaik klip video mengenai cadangan larangan merokok kepada Menteri Kesihatan, agar lebih praktis membaca dan meneliti berita dan fakta kes sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan di media sosial.

Ubaidillah Harith dalam kenyataannya berkata, jika ada kebenaran cadangan dalam video tersebut, maka individu itu wajar menyalurkan secara profesional pada saluran yang betul.

“Pakaian beliau melihatkan beliau seorang yang profesional dan apa yang diperkata seperti seorang yang mampu menyumbang idea yang baik.

“Mari kita bina Malaysia Baharu dengan semangat perubahan kepada yang lebih baik dan sihat,” ujarnya.

Beliau mengulas mengenai penularan sebuah video seorang individu kononnya ingin menegur Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berdasarkan sebuah berita yang dibaca di akhbar berkenaan seorang wanita di penjara sebulan kerana gagal membayar denda bagi kesalahan merokok di kawasan larangan merokok iaitu di tempat letak kereta pasar raya.

“Individu tersebut dengan penuh yakin dan berjela seolah ingin membuktikan bahawa hukuman tersebut rentetan daripada peraturan baru merokok dengan jarak tiga meter yang diwartakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Berkemungkinan beliau membaca separa bahagian berita tanpa mendalami fakta kes yang terkandung dalam isi berita tersebut,” ujarnya.

Ubaidullah berkata, kandungan berita berkaitan dipetik dariportal Harian Metro yang mana: “mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merokok di kawasan dilarang merokok iaitu di tempat letak kereta di sebuah pasar raya di Kota Bharu pada 9.15 malam 17 Mac 2017.”

“Telah jelas bahawa kejadian kes tersebut telah belaku pada tahun 2017, dan hukuman di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, tidak seperti yang dinyatakan di dalam video.

“Individu tersebut perlu sedar bahawa kenyataan Menteri Kesihatan berkaitan pelaksanaan hukuman pelanggaran peraturan merokok dengan jarak tiga meter masih belum berjalan, dan dalam fasa mendidik,” ujarnya lagi.

Pada 1 Januari lepas Menteri Kesihatan menyatakan bagi kempen larangan merokok kerajaan membenarkan tempoh enam bulan pertama untuk mendidik orang awam.