Video ucapan Tahun Baharu Cina Adly dapat reaksi positif

Video ucapan Tahun Baharu Cina Adly dapat reaksi positif

Pemimpin utama kerajaan negeri telah mula menggunakan pelbagai cara kreatif melalui media sosial untuk menyampaikan ucapan Tahun Baharu Cina pada 5 Feb ini.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari antaranya telah mula memuat naik ucapan perayaan tersebut dalam sebuah video berdurasi 1.11 minit di Facebook @AdlyZahariOfficial, Selasa lalu.

Apa yang lebih menarik, ucapan tersebut disampaikan dalam bahasa Mandarin dengan fasih.

Sehingga hari ini, video berkenaan telah mencatat 64,000 tontonan dan 1,311 perkongsian serta mendapat reaksi yang amat positif daripada pengguna laman sosial atas ucapan Adly itu.

Sempena tahun 2019 sebagai Tahun Melawat Melaka, Adly turut mengundang pengunjung untuk berkunjung ke Melaka bagi merasai sendiri kemeriahan sambutan perayaan berkenaan di negeri itu.

“Saya ingin mengundang anda semua datang ke Melaka dan rasai sendiri kemeriahan Tahun Baharu Cina di Melaka. Selamat Tahun Baharu Cina. Semoga semuanya menjadi lebih baik,” katanya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat kaum Tionghua di negeri tersebut.

Video Ahmad Faizal bersama isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi berdurasi 2.35 minit, turut memakai pakaian tradisi masyarakat Tionghua, telah mencatatkan 3,800 tontonan dan 107 perkongsian di Facebook milik Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Yong Choo Kiong, Khamis lepas.

Sambil berkongsi keterujaannya, Ahmad Faizal berkata beliau menanti-nantikan perayaan yang akan dihidangkan dengan jamuan Yee Sang, kuih bakul serta perarakan naga dan juga tarian singa itu.

– BERNAMA