Malaysia Dateline

Vietnam berusaha rangsang perladangan organik

Vietnam telah berusaha untuk merangsang perladangan organik, termasuk mengeluarkan satu dekri pada Ogos lepas yang perlu dilaksanakan secepat mungkin, kata pakar dalam satu forum di ibu kota negara itu pada Selasa.

Menurut Le Thanh Hung dari Institut Piawaian dan Kualiti Vietnam, negara itu tidak begitu biasa dengan piawaian perladangan organik Persekutuan Antarabangsa Pergerakan Pertanian Organik dan pasarannya bagi produk pertanian organik kurang berkembang, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Kerajaan telah mengeluarkan Dekri 109/2018/N?-CP berkaitan peraturan perladangan organik, prosedur seperti pensijilan, kebolehlihatan dan pemeriksaan serta dasar-dasar sokongan.

Selain itu, piawaian kebangsaan bagi pertanian organik sedang disesuaikan agar lebih jelas dan piawaian spesifik untuk produk tertentu seperti beras, teh, udang dan susu.

Adalah penting piawaian kebangsaan sepadan dengan piawaian antarabangsa bagi membantu peladang dan perniagaan untuk melakukan pelarasan sewajarnya terhadap pengeluaran mereak bagi membolehkan eksport.

Kawasan di bawah pertanian organik adalah seluas 118,000 hektar pada 2016, menurut Institut Penyelidikan Pertanian Organik yang berpangkalan di Jerman.

Menurut Pengerusi Persatuan Pertanian Organik Vietnam, Ha Phuc Minh, bandar dan wilayah perlu melaksanakan dekri itu dan secara aktif mengembangkan perladangan organik.

Sementara itu, para peladang perlu mengenal pasti pasaran mereka selain piawaian yang harus dipatuhi dan kerajaan hendaklah menggalakkan peladang untuk mematuhinya serta melakukan pemeriksaan ketat.

“Pengedar dan pengguna juga perlu memeriksa dengan teliti barangan yang mereka beli,” katanya.

— BERNAMA