Vietnam sedia menimbang Ekstradisi Perampas Kapal MT Orkim Harmony

Vietnam sedia menimbang Ekstradisi Perampas Kapal MT Orkim Harmony

 

Vietnam sedia menimbang permohonan kerajaan untuk mendapatkan perintah ekstradisi bagi membawa pulang lapan perampas kapal tangki Malaysia, MT Orkim Harmony, untuk dibicarakan di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau mengemukakan permintaan itu ketika mengadakan pertemuan pertama beliau dengan rakan sejawatannya dari Vietnam, Nguyen Xuan Phuc, di SOCHI (Rusia) semalam.

“Ini permintaan khusus kami,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia yang berakhir Jumaat.

Katanya rakan sejawatannya itu memaklumkan bahawa Vietman sedia menimbangkan permintaan tersebut.

Xuan Phuc mengangkat sumpah sebagai perdana menteri baharu Vietnam, April lepas.

Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilapor hilang pada 11 Jun tahun lepas ketika dalam perjalanan dari Melaka menuju Pelabuhan Kuantan, Pahang.

Lapan suspek kemudiannya ditahan pihak berkuasa Vietnam berhampiran Pulau Tho Chu, selatan Vietnam pada 19 Jun, tahun lepas.

Najib berkata dalam pertemuan itu, Vietnam turut meminta Malaysia mempertimbangkan untuk membuka semula pengambilan pekerja asing dari Vietnam ekoran langkah kerajaan membekukan proses pengambilan pekerja asing.

Dalam pada itu, Najib berkata Malaysia telah menerima cadangan yang dikemukakan Vietnam untuk pelaksanaan Pelan Tindakan Malaysia-Vietnam 2016-2018 untuk pertimbangan.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Xuan Phuc atas pelantikan sebagai perdana menteri dan menjemput beliau untuk mengadakan lawatan ke Malaysia.

TAGS