Vigneswaran YDP Dewan Negara baharu ganti Abu Zahar

Vigneswaran YDP Dewan Negara baharu ganti Abu Zahar

Naib Presiden MIC Datuk S A Vigneswaran hari ini mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-17.

Beliau mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Seri Abd Halim Abd Samad di Dewan Negara, di sini hari ini.

Vigenswaran, 51, dilantik menggantikan Tan Sri Abu Zahar Ujang yang tamat perkhidmatannya sebagai Yang Dipertua Dewan Negara semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said mengusulkan cadangan nama Vigneswaran semasa persidangan Dewan Negara hari ini dan cadangan itu disokong oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr J Loga Bala Mohan.

Tiada cadangan nama lain dikemukakan dan Anggota Dewan Negara sebulat suara menyokong cadangan berkenaan.

Vigneswaran yang merupakan Ketua MIC Bahagian Klang, sebelum ini dilantik sebagai senator pada 23 Jun 2014.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Staffordshire, England dan pemegang Sijil Amalan Guaman, Universiti Malaya.

Pengerusi Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia itu pernah menjadi Anggota Parlimen Kota Raja, Selangor dari Mac 2004 sehingga Mac 2008 dan menjawat jawatan sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan sepanjang tempoh berkenaan.

Vigneswaran juga pernah menyandang jawatan Ketua Pemuda MIC pada 2002 dan dipilih tanpa bertanding bagi jawatan itu pada 2003 dan Mei 2006.

Beliau tewas dalam pertandingan untuk jawatan Naib Presiden MIC pada 2013, namun berjaya merebut jawatan itu semula pada pemilihan semula parti itu pada 6 Nov lepas.

Dalam amanatnya selepas mengangkat sumpah, Vigneswaran turut berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung pelantikannya itu.

Turut hadir majlis angkat sumpah itu Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Abu Zahar.

Sementara itu, Azalina dalam satu kenyataan berharap Vigneswaran terus mengekalkan kewibawaan badan legislatif negara itu.

Beliau yakin Vigneswaran mampu memikul tugas yang dipertanggungjawabkan dan mengawal perjalanan Dewan Negara dengan adil dan saksama.

“Saya percaya Yang Dipertua Dewan Negara yang baharu akan dapat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik dalam sistem demokrasi berparlimen negara ini,” katanya.

TAGS