Pemain nombor satu badminton dunia, Viktor Axelsen mengecewakan peminat Indonesia apabila membuat pengumuman semalam untuk tidak ikut bertanding dalam kejohanan Daihatsu Indonesia Masters 2023.
Pertandingan yang diadakan di Istora Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia itu bakal berlangsung bermula esok sehingga 29 Januari.
Viktor menerusi ciapannya di Twitter @ViktorAxelsen berkata, beliau tidak akan ikut mengambil bahagian dalam perlawanan perseorangan yang dijadualkan berlangsung pada minggu hadapan.
Menurutnya, beliau sebenarnya sudah tidak sabar untuk beraksi untuk menggembirakan peminatnya di Istora, namun hal tersebut tidak dapat dielakkan.
Hal ini kerana jaguh badminton asal Denmark itu belum bersedia daripada segi fizikal untuk beradu tenaga dengan pihak lawan.
“Hai semua, malangnya saya tidak akan ke Indonesia pada minggu hadapan. Saya sudah tidak sabar untuk bermain di Istora di hadapan peminat badminton yang selalu menakjubkan.
“Tetapi badan saya belum cukup bersedia untuk satu minggu lagi pertandingan.
“Saya akan terus berkomunikasi dengan anda dan terima kasih atas sokongan semua,” umumnya.
Umum mengetahui, masyarakat seberang amat mengagumi pemain yang berusia 29 tahun itu sehingga dia mendapat gelaran khusus di Indonesia iaitu papa Vega (Vega Rohde Axelsen, anak perempuan Victor).
Rata-rata peminat dari negara jiran meluahkan rasa kekecewaan mereka kerana tidak dapat menonton aksinya di Istora kelak.
Namun mereka tetap mendoakan agar pemain itu cepat sembuh agar dapat menyertai perlawanan badminton berikutnya.
Selain itu, ada juga peminat yang mencadangkan Victor agar tetap hadir ke perlawanan itu namun bukan sebagai pemain tetapi sebagai penonton.
“Sangat sedih tidak dapat melihat anda pada minggu hadapan. Tetapi tetap berharap agar anda segera sembuh dan jumpa lagi di lain waktu,” komen peminat bernama Mambina.
“Wah sayang banget gak bisa lihat papa Vega main (Sedihnya tak dapat tengok perlawanan Vega),” komen peminat lain.
Terdahulu, Victor semalam turut mengejutkan dunia apabila kalah di tangan pemain bukan pilihan asal Thailand, Kunlavut Vitidsarn dalam Kejohanan Terbuka India 2023.
Baca juga: Ibu terkejut air dibeli di luar sekolah penuh dengan serpihan kaca yang disangka ais