Viral cara terbaru makan kurma dengan butter, tambah sikit kacang gajus untuk rasa lemak-lemak masin

Oleh KIM SYAZIE

Menjelang tibanya bulan Ramadan yang kurang tiga hari lagi, ramai yang mula berkongsi pelbagai tips terutama untuk individu yang tidak gemar memakan tamar atau kurma.

Apa yang menarik perhatian, ‘trend’ makan buah kurma bersama pure butter mula menjadi ikutan ramai. 

Tidak hanya itu, ada yang melakukan sedikit inovasi dengan turut menambah kacang badam untuk dimakan bersama kurma yang dikepit butter.

Menerusi perkongsian pengguna media sosial, cara yang diamalkan ini sebenarnya amat memudahkan mereka yang tidak gemar untuk memakan kurma.

Untuk anda yang tertanya-tanya, cara untuk menyiapkannya amatlah ringkas. 

Ambil sebiji kurma yang sudah pun dibuangkan bijinya, sapu apa jua jenis butter yang anda ada. Ramai yang mencadangkan untuk menggunakan ‘unsalted butter’.

Namun ‘salted butter’ juga masih lagi menjadi pilihan kerana ia memberi rasa sedikit masin dan berlemak. Ikut cita rasa anda ya!

Perlu diingat, tips ini sesuai hanya jika anda makan bersama butter dan bukan majerin biasa 

Ada juga yang berkongsi pengalaman, menikmati kurma butter dan ditambah kacang gajus atau badam. Rasanya lebih berlemak dan ‘crunchy’ kata mereka.

Seperti yang dikongsi ramai, rupa-rupanya tamar disapu butter ini juga menjadi kegemaran Rasulullah.

Dari Abdullah ibn Busr dan Atiyyah ibn Busr, mereka berkata:

“Rasulullah SAW telah masuk ke rumah kami. Lalu kami menyediakan mentega dan tamar. Baginda menyukai mentega dan tamar.” (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)

Untuk anda yang tidak boleh telan kurma bersama butter, boleh teruskan dengan apa jua cara yang anda selesa.

Semoga bermanfaat!

Baca juga: Hina Raja-Raja Melayu: Kertas siasatan Hadi Awang dirujuk kepada Peguam Negara