Malaysia Dateline

Viral gambar: Minta PM jangan bubar Umno, saya tak akan lompat parti, kata Mohamad

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan bahawa gambar beberapa pemimpin tertinggi Umno bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang tular sejak malam tadi adalah gambar lama.

“Itu gambar lama, saya tak akan lompat parti,” katanya dalam kenyataan ringkas semalam.

Beliau mengulas gambar yang tersebar itu menunjukkan kehadiran Mohamad bersama Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Seri Shahidan Kassim dengan Dr Mahathir.

Mohamad berkata mereka menemui Dr Mahathir dengan tujuan menyelamatkan parti UMNO berusia 72 tahun susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Mei lalu.

“Kunjungan hormat saya bersama anggota Majlis Tertinggi UMNO untuk bincang keadaan politik semasa, termasuklah minta penjelasan daripada Dr Mahathir tentang kenyataan beliau di New York bahawa Umno akan berkubur.

“Saya minta Dr Mahathir supaya jangan bubarkan Umno,” katanya.

Gambar yang menjadi tula selepas Umno Sabah mengumumkan keluar parti pada Rabu.

Mohamad berkata gambar tersebut dirakam selepas Dr Mahathir kembali daripada lawatan kerja ke United Kingdom (UK) dan menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat.

Dr Mahathir berada di UK dan New York dari 22 September hingga 1 Oktober.

Gambar tersebut ditular beberapa pihak kononnya pemimpin tertinggi Umno itu berjumpa Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), dengan tujuan untuk keluar parti, rentetan kemelut politik UmnoSabah yang menyaksikan ramai wakil rakyat dan pemimpin utama UMNO di negeri itu keluar parti semalam.