Malaysia Dateline

‘Viral’ isu culik pelawak Sabri Yunus teringat kisah Jaafar Tonggek potong kepala budak

Susulan ‘viral’ isu culik kanak-kanak pelawak Sabri Yunus teringat satu kisah yang menjadi lagenda di negeri Kelantan iaitu kisah Jaafar Tonggek potong kepala budak.

Menurut Sabri pada waktu itu ramai orang takut dan isunya menjadi tular dari mulut ke mulut, kemudian dari satu daerah ke daerah bukan kes culik budak tetapi kes potong kepala budak.

“Teringat zaman budak budak dulu..

“Nama pelaku adalah Jaapar Tonggek, katanya dia akan kerat kepala budak dan masukkan dalam guni bertahun tahun nama itu muncul bila tiba musimnya,” katanya.

Katanya, tidak tahu dari mana dan tiada siapa dapat membuktikan wujudnya nama Jaafar Tonggek dan di mana ia berlaku.

Namun katanya, nama Jaafar Tonggek itu asalnya muncul pada musim buah ketereh (gajus) berbuah kerana dikatakan budak-budak suka mencuri biji gajus yang mahal.

'Viral' isu culik pelawak Sabri Yunus teringat kisah Jaafar Tonggek potong kepala budak

“Ya kenapa musim ketereh?. Ada kemungkinan kerana ada orang (budak budak) suka curi biji ketereh dari buah yang tergantung, biji itu lebih sedap dan mahal dari buah buahnya tak laku, pulas biji dan tinggalkan buah itu macam potong kepala juga lah ibaratnya.

“Adakah kerana untuk mengelak dari budak budak berkeliaran di luar rumah dan memulas biji ketereh maka timbul nama Jaapar Tonggek pemenggal kepala budak dan isi dalam guni.

“Wahhh nama itu menjadi nama yang sangat legend di seluruh negeri,” katanya di Facebook.

Sabri menganggap tularnya kes culik ini untuk megingatkan semua agar mengambil sikap berhati hati dalam semua hal.

“Adalah lebih baik, termasuk hal mengviralkan isu yang tak berasas,” katanya.

Dakwaan kes culik di Kelantan tidak berasas

Hari ini, Polis Kelantan memohon kerjasama rakyat di negeri itu khususnya warga maya supaya menghentikan perbuatan menyebar dakwaan kes culik sehingga menimbulkan ketakutan dalam masyarakat.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dakwaan cubaan membawa lari atau menculik kanak kanak di perkarangan sekolah yang berlegar-legar di laman media sosial sejak kebelakangan ini, adalah tidak berasas.

“Dakwaan yang mengaitkan individu mencurigakan berada di perkarangan sekolah atau tempat-tempat tertentu juga disiasat oleh pihak polis, namun kesemua dakwaan berkenaan tidak menjurus kepada situasi cubaan membawa lari atau menculik kanak kanak,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Polis Kelantan pada 22 dan 26 September lalu sudah menjalankan siasatan terhadap dakwaan cubaan menculik pelajar sekolah rendah masing masing di Gua Musang, Kuala Krai dan Pasir Puteh.

“Saya tegaskan di sini, mereka yang terbabit menyebarkan maklumat tidak betul salah salah dan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan (mendatangkan kegusaran awam) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis memohon orang ramai supaya merujuk sesuatu kejadian dan dakwaan itu melalui sumber sahih supaya tidak menimbulkan kekeliruan,” katanya.

Baca juga: Siapa tokoh ulama Dr Yusuf Al Qaradawi? Hafal 30 juzuk di usia 9 tahun selepas 7 tahun yatim piatu

Baca juga: Henti sebarkan dakwaan kes culik hingga gusarkan masyarakat