Susulan viral video remaja berumur 12 tahun diberi suntikan vaksin pada 30 September lalu, bagaimanapun picagari yang digunakan tidak mengandungi vaksin Pfizer sebagaimana ditetapkan.
Timbalan Menteri Kesihatan I Dr Noor Azmi Ghazali dalam kenyataannya memohon maaf atas kecuaian seorang petugas kesihatan (penyuntik) tersalah mengambil satu picagari kosong ketika proses vaksinasi ke atas remaja berkenaan.
“Dalam kejadian pukul 3.16 petang itu, petugas kesihatan tersebut telah tersalah ambil satu picagari kosong yang masih belum digunakan dari ruangan meja yang sama dengan picagari berisi vaksin.
“Petugas kesihatan telah mengikut prosedur yang ditetapkan seperti menunjukkan vaksin dikeluarkan dari botol vaksin melalui picagari dan menunjukkan picagari berisi vaksin dengan dos yang sepatutnya kepada ibu remaja berkenaan,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) menjelaskan petugas berkenaan tersalah ambil picagari selepas melakukan proses nyahkuman di lengan remaja sebelum memberikan suntikan.
“Selepas menunjukkan picagari berisi vaksin, petugas kesihatan berkenaan telah meletakkan sebentar picagari tersebut di atas meja untuk melakukan proses nyahkuman di lengan remaja sebelum memberikan suntikan.
“Bagaimanapun, dia tersalah ambil picagari yang kosong dan membuat suntikan ke lengan remaja tersebut. Setelah selesai, petugas kesihatan itu menyedari kesilapannya dan memaklumkan kepada pegawai perubatan yang bertugas di PPV UM.
“Kedua-dua mereka segera mengadakan perbincangan dengan ibu bapa remaja tersebut. Setelah memahami penjelasan yang diberikan, ibu bapa remaja berkenaan telah memberi kebenaran untuk remaja tersebut diberikan suntikan vaksin di lengan yang berlainan mengikut Prosedur Dos Kurang,” katanya.
Dr Noor Azmi berkata Prosedur Dos Kurang merupakan garis panduan klinikal yang mencadangkan pemberian vaksin di lengan yang berlawanan jika dos pertama dianggap tidak mencukupi dan dos semula diperlukan.
“Pihak CITF-A amat kesal dengan kejadian ini dan ingin memohon maaf kepada ibu bapa dan remaja yang terlibat atas kesulitan yang berlaku.
“Kejadian ini disifatkan sebagai kesilapan ketika bertugas atau ‘human error’. Petugas kesihatan berkenaan telah diberi amaran untuk lebih berhati-hati dan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.
Tambahnya, prosedur dalaman juga telah ditambah baik dengan memastikan tiada picagari lain di ruangan meja yang sama ketika memberi suntikan bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.