Malaysia Dateline

Virtus.Pro raih gelaran KL Major 2018

Pasukan berpangkalan di Rusia, Virtus.Pro (VP) meraih gelaran sulung pertandingan sukan elektronik atau e-sukan Kuala Lumpur Major (The KL Major) selepas menewaskan Team Secret dalam aksi grand final lima pusingan terbaik di Axiata Arena di sini, hari ini.

Bertarung di hadapan lebih 10,000 penonton, kedua-dua pasukan menampilkan aksi menakjubkan apabila juara hanya ditentukan pada pusingan kelima, menyaksikan VP lebih bernasib baik merangkul kejuaraan tersebut dengan kemenangan 3-2.

Selaku juara, VP yang dibarisi lima peserta lelaki, Roman Kushnaryov sebagai ketua pasukan, Vladimir Minenko, Pavel Khvastunov, Alexey Berezin dan Vladimir Nikogosyan membawa pulang US$350,000 dan 4,950 ‘Dota Pro Circuit Point (DPC)’, sekali gus mereka semakin hampir layak ke aksi The International 2019 di Shanghai, China.

Sementara naib juara, Team Secret yang dianggotai peserta daripada beberapa negara dan diperkuatkan oleh Michal Jankowski, Yeik Nai Zheng, Ludwig Walhlberg, Yazied Jaradat dan Clement Ivanov (ketua pasukan) menerima hadiah wang tunai US$170,000 dan 3,000 DPC.

Tempat ketiga milik pasukan berpangkalan di Amerika Syarikat, Evil Geniuses yang tumpas 0-2 kepada VP dalam aksi penentuan ke separuh akhir, dan membawa pulang US$100,000 dan 2,100 DPC.

Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari bermula 16 Nov itu, menawarkan keseluruhan wang tunai US$1 juta (RM4.1 juta) dan menarik penyertaan 16 pasukan terbaik dunia.

Ia adalah kali pertama Malaysia menganjurkan pertandingan The KL Major – kejohanan Dota 2 terbesar di negara ini.

— BERNAMA