Malaysia Dateline

Virus beli wakil rakyat berbahaya, kata Mohamad

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menyifatkan pembentukan kerajaan tanpa mandat rakyat sebagai virus yang berbahaya.

Menurutnya, Malaysia dalam keadaan bahaya akibat serangan virus yang memusnahkan amalan demokrasi.

“Virus tukar wakil rakyat dan tukar kerajaan ini bermula Februari lalu.

“Virus ini berlaku tanpa melalui mandat rakyat dan pilihan raya,” katanya ketika berucap semasa sambutan Majlis Penyerahan Daging Korban di Parlimen Kota Raja hari ini.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, ‘virus’ tersebut telah menyerang beberapa negeri di Semenanjung sebelum ini dengan terbaharu cubaan di Sabah.

“Virus ini menghancurkan sistem demokrasi. Sekarang ini kita lihat trend ini bahaya apabila wakil rakyat telah dibeli.

“Virus ini telah menyerang Johor, Melaka, Perak, Kedah dan sekarang mereka berusaha merampas kuasa di Sabah.

“Nasib baik Shafie Apdal dengan cepat pergi ke istana meminta DUN dibubarkan.

“Biar rakyat tentukan apa mereka mahu. Ini satu langkah untuk menyelamatkan demokrasi di Malaysia,” kata Mohamad lagi.