Malaysia Dateline

Visa Furada: Bakal Haji diingatkan berurusan dengan syarikat mendapat lesen PJH

Umat Islam di negara ini dinasihatkan agar memilih syarikat yang mempunyai lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang mempunyai kuota Visa Furada pada musim haji, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Beliau memberi ingatan dan nasihat kepada seluruh umat Islam agar berhati-hati memilih syarikat yang tidak mempunyai lesen PJH dan mendakwa mempunyai kuota visa furada kerana risiko yang tinggi akan ditanggung oleh bakal-bakal jemaah haji termasuk gagal mendapat penerbangan di saat-saat akhir.

“Pihak saya melalui TH sentiasa berusaha untuk mengurangkan segala risiko dengan sentiasa memperbaiki dan meningkatkan sistem pengendalian haji di Malaysia.

“Lembaga Tabung Hajitidak bertanggungjawab untuk menguruskan visa furada kerana ia dikendalikan secara terus oleh agensi-agensi pelancongan dan umrah serta pihak individu bersama kedutaan ArabSaudi di Kuala Lumpur,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Lembaga Tabung Haji (TH) katanya lagi, hanya mengendalikan jemaah serta visa haji yang diperolehi secara rasmi.

Tahun ini, TH mengendalikan jemaah dan visa berjumlah 30,200 iaitu jumlah kuota yang diberi kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia untuk diuruskan TH.

“Bagi agensi-agensi pelancongan pula, TH hanya menguruskan syarikat yang diiktiraf TH serta mendapat lesen PJH.

“TH juga tidak dibenarkan untuk menguruskan jemaah haji furada serta yang menunaikan haji melalui syarikat yang tidak mempunyai lesen PJH,” ujarnya.

Kenyataan ini dibuat susulan insiden insiden 26 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Jeddah baru-baru ini, adalah amat membimbangkan.

Katanya Dr Mujahid lagi, perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi ia melibatkan individu yang ingin melaksanakan rukun Islam ke-lima iaitu menunaikan haji.

“Bagaimanapun, untuk kes-kes tertentu seperti 26 orang warganegara Malaysia yang terkandas di Jeddah, TH melalui pegawai-pegawainya tetap menghulurkan bantuan dan menjaga kebajikan mereka dengan memberi makan minum kepada mereka dan bekerjasama dengan pihak Arab Saudi untuk urusan membawa balik mereka,” ujarnya lagi.