Malaysia Dateline

VM2020: Kedah sasar 7 juta pelancong, kata Exco

Kerajaan negeri Kedah menyasarkan sejumlah 7 juta pelancong untuk mengunjungi negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Usahawan, Mohd Asmirul Anuar Aris.

Menurut Asmirul lagi, sebanyak 4 juta pelancong disasarkan untuk berkunjung ke Langkawi manakala 3 juta lagi ke tanah besar.

“Lebih dari 20 acara bertaraf antarabangsa bakal berlangsung di negeri ini sepanjang tahun 2020.

“Selain acara tahunan seperti Ironman dan Regatta Langkawi, terdapat beberapa acara lagi bagi menarik kunjungan peserta dari luar negara.

“Taekwando antarabangsa, pancaragam, tarik tali dan karom akan turut diadakan bagi menarik kehadiran pelancong tahun ini, ” jelasnya.

Beliau juga berkata, tumpuan turut diberikan terhadap agro-tourism yang juga menjadi kelebihan bagi menarik lebih ramai pelancong.

Tambahnya, pesta buah-buahan dan durian akan turut diadakan sebagai salah satu daya tarikan dalam aturcara tersebut.

Disamping itu ujarnya, seni dan budaya termasuk teater akan juga memenuhi program bagi tarikan pelancong ke negeri ini.

“Kerjasama dengan beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan atau NGO dalam menganjurkan acara secara kecil-kecilan akan diadakan secara mingguan.

“Sempena Tahun Melawat Malaysia tahun ini, kerajaan negeri bersiap sedia bagi menyambut kehadiran pelancong luar negara tidak lama lagi.

“Sejajar dengan itu, pelbagai program yang disediakan turut menjurus kepada pelancongan sukan, ” tegasnya.