Malaysia Dateline

VMY 2020: Tourism Malaysia sasar pelancong China dan India meningkat tujuh peratus

Sempena Tahun Melawat Malaysia (VMY 2020), Tourism Malaysia mensasarkan kedatangan pelancong dari China dan India, akan meningkat kira-kira tujuh peratus, kata Ketua Pengarahnya Datuk Musa Yusof.

Katanya, peningkatan ini juga selaras dengan pengecualian visa selama setahun untuk pelancong dari China dan India, selain kedua-dua negara tersebut merupakan antara pasaran terbesar bagi industri pelancongan negara ini.

“Terima kasih kerajaan kerana melaksanakan inisiatif ini, dalam usaha menarik lebih ramai pelancong dari China dan India ke Malaysia khususnya pada VMY 2020, dan ia bukan perkara baharu dilakukan, kerana sebelum ini pengecualiannya adalah sehingga 31 Disember  ini sahaja.

“Kita sudah mohon lama pada kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri, untuk terus melaksanakan usaha ini, kerana ia memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Tourism Malaysia ‘Surfcasting Tour 2019 – A Journey to Visit Malaysia 2020’, di Pantai Puteri pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesan kedatangan pelancong dari China dan India sempena VMY 2020, menerusi langkah pengecualian visa selama setahun mulai tahun hadapan, dengan tempoh lawatan terhad kepada 15 hari, tanpa sebarang lanjutan.

Sementara itu, Musa berkata berkata bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, negara merekodkan ketibaan 2.41 juta pelancong dari China dan 539,167 pelancong dari India.

Katanya berdasarkan rekod, jumlah kedatangan pelancong dari China itu menunjukkan peningkatan 5.7 peratus, manakala India meningkat 23.2 peratus, dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lepas.

Untuk rekod, kira-kira 3.26 juta pelancong China dan 683,000 pelancong India disasarkan melawat ke Malaysia pada tahun ini.

Dalam pada itu, Musa berkata pemain industri pelancongan di negara ini dilihat telah bersedia dalam pelbagai aspek, antaranya penyediaan fasiliti dan pakej pelancongan yang menarik, menjelang VMY 2020.

Menurut beliau pemain industri turut diberi kebenaran untuk menggunakan logo VMY 2020, yang dilancarkan Julai lalu pada setiap produk atau barangan yang dikeluarkan mereka, dalam usaha membantu kerajaan mempromosikan usaha tersebut dengan lebih meluas.– BERNAMA