Vokalis kumpulan terkenal jadi dalang penculikan, arah orang gaji larikan anak sendiri?

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang selebriti wanita terkenal berdepan dengan detik cemas setelah mendapati anak lelakinya dilarikan oleh individu yang merupakan warganegara asing.

Lebih mengejutkan, warganegara asing tersebut bukanlah orang yang tidak dikenali sebaliknya pembantu rumah kepada bekas suaminya sendiri iaitu seorang penyanyi.

Selebriti wanita yang juga pernah bergelar penyanyi itu bagaimanapun bernasib baik kerana bertindak pantas dengan membuat laporan di Balai Polis Ampang, Selangor.

Berkat laporan tersebut, orang gaji berkenaan juga berjaya diberkas oleh pihak polis pada bulan lalu iaitu hari yang sama kanak-kanak lelaki itu dipercayai cuba diculik.

Hasil siasatan pihak polis, bekas suami selebriti itu yang merupakan seorang vokalis kumpulan terkenal didakwa menjadi dalang penculikan tersebut, lapor Harian Metro.

Hal ini berikutan pembantu rumah itu telah membuat pengakuan mendakwa dirinya hanya mengikut arahan daripada penyanyi lelaki terbabit untuk melarikan anaknya.

Vokalis itu bertindak sedemikian atas alasan sudah lama tidak bertemu anak lelaki yang juga anak angkat pasangan penyanyi tersebut ketika mereka bergelar suami isteri.

Tinjauan mendapati, masih tiada pendedahan dibuat bagi membongkarkan identiti bekas pasangan suami isteri yang terbabit dengan kes penculikan mengejutkan ini.

Malah setakat artikel ditulis, belum ada mana-mana selebriti terkenal tempatan yang mengeluarkan kenyataan bagi mengesahkan mahupun menafikan dakwaan tersebut.

Walau bagaimanapun, bekas pasangan selebriti itu difahamkan bakal membawa kes mengenai hak penjagaan anak angkat mereka di mahkamah syariah tidak lama lagi.

Diharapkan urusan dua selebriti terkenal itu dipermudahkan Ilahi dan semoga bekas pasangan tersebut dapat mencapai kata sepakat demi kebahagiaan anak angkat mereka.

Baca juga: “Susah betul kahwin dengan anak mak, nak keluar berdua dengan suami pun dihalang…”