Wabak koronavirus  disyaki menular di  Bintulu belum disahkan

Wabak koronavirus  disyaki menular di  Bintulu belum disahkan
Wabak koronavirus kini disyaki telah menular di Bahagian Bintulu, Sarawak berikutan seorang wanita dari China yang dirujuk di hospital Bintulu hari ini.
Ahli Parlimen Bintulu, Dato Seri  Tiong King berkata,  maklumat mengenai penularan wabak tersebut masih belum disahkan lagi setakat ini.
Beliau berkata, ini adalah ekoran laporan mengenai seorang pesakit yang telah dirujuk oleh pihak Hospital Columbia Asia kerana mengalami simptom demam panas setelah pulang dari Wuhan, China.
“Wanita yang berasal dari Hubie, China itu dikenali sebagai Zao Ming, 25 Tahun telah pergi ke Wuhan pada 11 Januari lepas atas urusan kerja dan kembali ke Malaysia melalui transit ke Kota Kinabalu dan seterusnya ke Bintulu.
“Bimbang disyaki terkena wabak Koronavirus, pesakit wanita itu kemudian dirujuk ke hospital Bintulu dengan kadar segera untuk tindakan lanjut,” katanya di Bintulu hari ini.
Menurut laporan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah(KJSJ) Sarawak, pesakit  berkenaan telah diletakkan di wad pengasingan selama 14 hari.
Jelasnya, sampel darah wanita itu juga akan dihantar ke makmal di Kuala Lumpur untuk pengesahan lanjut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menafikan terdapat kes disahkan jangkitan koronavirus Wuhan di Sarawak selepas seorang warga China dimasukkan ke Hospital Bintulu.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, beliau menjangkakan keputusan akan diketahui malam ini jika wanita itu sah dijangkiti virus tersebut selepas menerima keputusan ujian dari Kuala Lumpur.
Memetik laporan berita AFP, kematian yang disahkan daripada wabak virus China telah meningkat kepada 80 dengan pihak berkuasa di wilayah Hubei tengah hari ini melaporkan 24 kematian baharu serta 371 kes baharu.
Bermula di ibu kota Wuhan, Hubei, virus yang sebelum ini tidak diketahui telah merebak di seluruh China dan di seluruh dunia.
Empat kes telah disahkan di Malaysia yang melibatkan warga China di Semenanjung.