Malaysia Dateline

Wabak Wuhan: Kerajaan perlu umum lokasi kontak, penginapan terakhir pesakit

“Total deaths globally stood at 805, just short of the 813 total fatalities attributed to the deadly Sars epidemic of 2002-2003 that the World Health Organisation had reported.”

Menjelang hari ini, jumlah yang mati akibat koronavirus akan melebihi jumlah kematian akibat Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

Perlu diingat, SARS mengambil masa setahun untuk berlakunya 813 kematian, manakala
wabak berbahaya 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) cuma mengambil masa kurang dua bulan untuk 805 kematian.

Ya, kadar kematian pesakit SARS (9 peratus) adalah lebih tinggi dari koronavirus (2 peratus). Walau bagaimanapun, ia merebak terlalu pantas kerana itulah China menutup aliran keluar masuk beberapa buah bandar untuk mengekang penyebarannya.

Setakat ini, virus tersebut telah mencatat 17 kes di Malaysia, dengan dua kes jangkitan secara lokal. Jumlah ini tentunya akan bertambah pada hari-hari mendatang.

Dalam kes kedua jangkitan secara lokal, mangsa merupakan warga Malaysia berusia 67 tahun iaitu ibu mentua lelaki yang didapati positif koronavirus setelah menghadiri persidangan di Singapura.

Sebelum ini seorang wanita iaitu adik kepada lelaki tersebut yang merupakan kes pertama jangkitan secara lokal.

Sehingga kini, KKM tidak mendedahkan lokasi spesifik di mana kontak berlaku. Hanya diketahui kampung lelaki tersebut adalah di Sungai Petani.

Yang membimbangkan kita adalah jangkitan secara lokal yang tidak diketahui punca – Singapura telah mencatat beberapa kes tersebut, Malaysia masih belum – dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mengubah satu perkara, apa yang saya fikir prosedur operasi standard (SOP) mereka.

Semua kes yang dicatatkan di Malaysia, KKM tidak mendedahkan di mana lokasi kontak berlaku. Ini perlu diubah dan mengapa KKM perlu melakukan sedemikian?

Jika orang awam mengetahui lokasi kontak, sekurang-kurangnya mereka yang pernah berada di lokasi tersebut boleh melakukan langkah awal pencegahan seperti melakukan pemeriksaan kesihatan sekali gus mengurangkan risiko penyebaran lokal.

Negara lain seperti Singapura, Hong Kong dan Korea selatan, semuanya mendedahkan lokasi kontak berlakunya jangkitan.

Cara media Singapura melaporkan tujuh kes terbaru di negara mereka amat terperinci. Maklumat seperti inilah yang wajib Malaysia contohi.

Saya menghargai usaha KKM setakat ini dalam melawan wabak ini. Mereka telah melakukan tugas yang bagus. Dua pesakit juga telah sembuh dan telah dikeluarkan dari hospital.

Walau bagaimanapun, saya fikir KKM perlu dengan serius memikirkan langkah ini. Umumkanlah lokasi kontak dan penginapan terakhir pesakit. Sediakanlah payung sebelum hujan.

Carta disediakan Muhammad Harris Nasril.