Malaysia Dateline

Wad ICU di Perak terima 120 peratus pesakit, Exco kesihatan didakwa lepas tangan

Exco Kesihatan Negeri Perak diselar lepas tangan berhubung keadaan kritikal yang berlaku di hospital-hospital bahagian Unit Kawalan Rapi (ICU) di negeri itu apabila dilaporkan menerima lebih 120 peratus pesakit kritikal sejak bulan lalu.

Ketua Pemuda DAP yang juga Adun Pasir Pinji Perak, Howard Lee Chuan How mempersoalkan beberapa kerja yang tidak pernah dilaksanakan oleh Exco kesihatan negeri termasuk inisiatif membantu pusat-pusat penilaian Covid-19 (CAC) bagi memenuhi permintaan yang memuncak.

Beliau juga meminta penjelasan, berapa banyak pusat vaksinasi (statik atau bergerak) yang Exco Kesihatan Negeri Perak telah usahakan bersama dengan Adun-Adun kerajaan dan pembangkang.

Menurutnya, kemampuan Negeri Perak untuk melawan Covid-19 terutamanya dalam menyelamatkan pesakit kritikal, sudah melangkaui titik pecah dan kini berada di luar kawalan.

“Berapa banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dia telah lawat dan bantu ‘troubleshooting’? Ada pernah dia duduk di meja untuk bantu selesaikan masalah sistem, perisian dan isu-isu teknikal MySejahtera, MyVas dan JKJAV? Berjela-jela nanti kalau saya tak berhenti senaraikan semua kepincangan ini.

“Setiap satu entiti di dalam penjagaan kesihatan di negeri ini sedang lakukan semua yang terdaya untuk bertarung di dalam perang tak berpenghujung ini.

“Tapi, manusia yang diberikan mandat untuk mewakili kerajaan negeri dalam hal-hal ini, hilang entah ke mana, langsung tak tinggalkan jejak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut data yang diperoleh daripada domain awam, setakat 12 Ogos, katil-katil ICU telah mencecah tahap kemampuan 120 peratus iaitu satu pencapaian yang paling teruk pada masa itu.

Ditambah dengan kadar jangkitan yang meningkat di samping kadar positif mencecah 1, 000 kes sehari, situasi tersebut semakin membimbangkan di mana Jabatan Kesihatan Negeri kurang mendapat sokongan yang mereka perlukan untuk memenuhi permintaan katil-katil ICU.

Howard juga mengingatkan bahawa tanggungjawab kerajaan terutamanya Exco Kesihatan Kerajaan Negeri adalah untuk memberikan peruntukan dan menyediakan sumber-sumber penting supaya sistem kesihatan boleh terus bergerak pantas.

“Sudah terang lagi bersuluh berdasarkan data-data bulan lalu, bukan sahaja Exco kesihatan bertindak lepas tangan dan goyang kaki, bahkan dia juga membuktikan ketidakcekapan mengurus tugasan-tugasan penting ini,” katanya lagi.

Jelasnya, jika kerajaan negeri gagal memberi perhatian lebih baik, ramai lagi yang akan terkorban dan Exco negeri perlu dipertanggungjawabkan atas setiap yang berlaku.