Malaysia Dateline

WADA haramkan lagu, bendera Rusia di kejohanan sukan antarabangsa

Badan Anti-Doping Dunia (WADA) pada Isnin  mengharamkan bendera Rusia dikibarkan selain lagu kebangsaan negara itu dimainkan di mana-mana kejohanan sukan antarabangsa.

Memetik laporan  Astroawani dari sumber Agensi berkata, Ia berikutan krisis doping yang berlarutan membabitkan atlet negara itu sehingga pernah membawa kepada pengharaman terhadap semua atlet Rusia menyertai kejohanan sukan antarabangsa sebelum ini.

Keputusan itu dibuat oleh jawatankuasa eksekutif WADA yang memutuskan untuk melarang daripada bendera dan lagu rusia dikibar dan dimainkan selama empat tahun.

Menurut jurucakap WADA James Fitzgerald, atlet Rusia bagaimanapun dibenarkan untuk bersaing dalam acara utama dengan syarat lulus ujian doping dan tiada manipulasi data seperti yang berlaku sebelum ini.

“Ini bermaksud, kalau atlet Rusia mahu bersaing di sukan Olimpik atau Paralimpik atau apa-apa acara utama yang tersenarai, mereka perlu pastikan bahawa mereka tidak pernah terlibat dengan apa-apa isu doping sebelum ini.

“Mereka bukan antara yang terlibat seperti yang ternyata dalam laporan McLaren’s. Mereka tidak pernah ada sampel atau data yang dimanipulasi, selain mematuhi kriteria lain yang tersenarai,” katanya.

Keputusan ini juga menimbulkan tanda tanya untung nasib skuad bolasepak negara itu dalam saingan Piala Dunia nanti.

Bagaimanapun agensi anti-doping Rusia masih dibenarkan untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.