Penyanyi dan pencipta lagu, Waheeda Wassini kembali menempatkan dirinya di industri muzik dengan pelancaran semula lagu Sindiran.
Lagu Sindiran ini menceritakan kisah pemimpin yang mengejar tiga ‘Ta’ iaitu harta, takhta dan wanita sehingga tergamak mengorbankan nyawa insan tidak bersalah.
Waheeda difahamkan terinspirasi menulis lagu ini apabila melihat ketamakan kuasa khususnya pemimpin dunia hingga tercetusnya peperangan, kekejaman, dan rasuah.
Oleh sebab itulah pemilik nama sebenar Norwahidah Abdul Wahab ini menggunakan platform miliknya sebagai penyanyi untuk ‘menyindir’ mereka melalui karya muzik.
Menurut penyanyi berusia 45 tahun itu, lagu yang dipetik dari album kedua, Melodi Ahlan ini dilancarkan semula kerana ia masih releven dan sesuai dengan situasi terkini terutamanya di Palestin.
“Terdapat perang di mana-mana terutamanya di Palestin. Setiap tahun ada sahaja insiden yang berlaku. Kita nampak ada pihak yang cuba ambil kesempatan atas peperangan ini.
“Kita tak rancang nak keluarkan lagu ini untuk kaitkannya dengan Gaza. Tapi ‘timing’ memang kena. Apa yang berlaku di Palestin sekarang kerana mereka mahukan gas asli.
“Harap mereka yang mendengar terinspirasi untuk menyebarkan maklumat benar mengenai isu ini terutamanya bagi kepentingan generasi akan datang,” kata Waheeda.
Perkara tersebut didedahkan oleh Waheeda dalam sesi temu bual dikongsinya menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya, @officiallywaheeda.
Tegas bintang filem I Know What You Did Last Raya itu, semua orang boleh berjuang menuntut keadilan dengan cara masing-masing termasuk melalui penyebaran ilmu.
“Sebagai seorang Islam, kita perlu meningkatkan daya fikiran dengan cara menuntut ilmu. Anda mahu lawan mereka? Gunakan ilmu dan perkembangkannya.” Jelasnya Waheeda lagi.
Terdahulu, pihak Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) telah melaporkan penemuan sumber minyak dan gas asli di sekitar kawasan Tebing Barat.
Bagaimanapun, kajian UNCTAD pada 2019 mendapati pemerintahan haram Israel terus menghalang rakyat Palestin untuk membangunkan fasiliti bagi meneroka sumber ini.
Hal ini dipercayai berpunca daripada hasrat rejim Zionis yang ingin mengeksploitasi aset tersebut untuk kepentingan mereka sendiri.
Baca juga: Kecundang di saat akhir, Shila Amzah dan Syahir gagal ke final FD3