Wajah buruk dunia umat Islam

An-Nadwi telah mengkritik ulama masa kini mahupun pemikir Islam kerana telah mengalami kemunduran di bidang ilmu pengetahuan, terutama ilmu pengetahuan umum, atau kotemporari.Lama dulu, ulama terkenal dari India, Sayyid Abul Hasan Ali An-Nadwi, menulis buku ‘Derita Dunia – Akibat kemunduran umat Islam’ – sebuah buku yang amat terkenal dan telah diterjemahkan ke pelbagai bahsa di seluruh dunia.
Buku tersebut menceritakan, antara lain, wajah dunia Barat yang huduh kerana kehidupan masyarkatnya tidak menerima sentuhan agama.

Itu pandangan An-Nadwi ketika itu, tetapi bagaimana andainya tokoh ulama itu melihat dunia umat Islam masa kini dan bagaimana kehidupan di dunia Barat masa kini juga.

Bagaimana jika An-Nadwi melihat keharubiruan dunia umat Islam masa kini, bukan saja di kalangan pemimpinnya, golongan elitnya yang kaya raya dan bagaimana umat Islam yang terus menerus dilingkari kemiskinan dan keterpurukan serta pelbagai kelemahan lagi.

Juga bagaimana sikap pemimpin umat Islam yang bergelumang dengan rasuah, penyelewengan, pembaziran, kediktaturan, merampas hak kebebasan rakyat dan pelbagai sifat buruk lagi.

Sementara wajah dunia Barat pula dilihat sangat konteras dengan dunia umat Islam. Seperti dikatakan, wajah dunia umat Islam begitu buruk sekali.

Ketika dunia umat Islam bertarung dengan keganasaan di sana sini, terutama di dunia Arab, serangan demi serangan atas nama ‘jihad’, tetapi dunia Barat mempamerkan kehidupan yang harmonis, beretika, saling menghormati antara satu dengan lain, menyerlahkkan nilai kemanusiaan yang tinggi.

Sementara pemimpinnya memperlihatkan kepimpinan yang berintegriti, sangat peduli rakyat, bersikap sangan hamble dan hormat kepada siapa saja.

Ini bukanlah bermakna bahawa dunia Barat kini amat sempurnna, iaitu tidak ada ‘orang jahat’, namun peratusnya sangatlah rendah.

Adapun serangan demi serangan yang berlaku di bandar-bandar besar di Barat, kebanyakannya dilakukan oleh ‘orang asing’, sesetengahnya atas nama perjuangan Islam. Pada hal itu sebenarnya bertentangan dengan ajaran Islam kerana Islam itu rahmat seluruh alam, agama cinta damai.

Sebab itu, Perdana Menteri baru British, Theresa May, dalam satu ucapannya yang menarik di sebuah konvensyen di London baru-baru ini. telah memetik beberapa ayat Al-Quran yang diterjemahkannya.

Beliau menyatakan, berdasarkan ayat Al-Quran ini, nyatalah bahawa perbuatan ganas dan extermisme bukan datang dari Islam. Justru, katanya, Islam ialah sebuah agama yang sentiasa menganjurkan perdamaian dan hidup penuh kasih sayang.
Sebab itu, kebanyakan pemimpin Barat, memahami bahawa keganasan dan perbuatan ganas dan extermisme bukan datang dari Islam. Maka reaksi mereka terhadap keganasan, tidak menyalahkan Islam.

Beberapa sahabat yang menetap di Eropah dalam tempoh yang agak panjang dan pulang pulang sementara, memberitahu saya bahawa, system nilai Islam, dengan etika yang murni telah diamalkan oleh kebanyakan pemimpin dan penduduk di Barat.
Malangnya, di dunia umat Islam, katanya, sangat kontras di mana system nilai Islam tidak terlihat diamalkan. Dari segi amanah, kebersihan, system jalan raya, etika bekerja dan seumpamanya, kata sahabat itu, di Barat dilihat selaras dengan system nilai Islam.

Dari segi etika berpolitik, dunia Barat dilihat mengamalkan demokrasi. Pemegang jawatan dalam kepimpinan politik negara mudah melepaskan jawatan, betapa tinggipun. Bermakna mudah menerima jawatan dan mudah melepaskan jawatan. Tidak mempertahankannya seumur hidup.

Tidak ada pertarungan sengit dan krisis yang menggila ketika bertukar jawatan atau berhenti memegang jawatan. Ini yang hampir-hampir tidak kelihatan di dunia umat Islam.

Sebab itu, apabila saya mengulang baca buku Almarhum Sayyid Abul Hasan Ali An-Nadwi ini, saya berfikir, jika Almarhum melihat kembali dan membandingkan antara dunia Barat dan dunia umat Islam masa kini, saya kira, Almarhum akan membina perspekti baru mengenainya. Tidak berlebihan dikatakkan bahawa dunia Barat, sama ada secara sedar atau tidak sedar, telah mengamalkan system nilai dan moral Islam, sementara dunia umat Islam sebaliknya.

Dalam buku itu, An-Nadwi telah mengkritik ulama masa kini mahupun pemikir Islam kerana telah mengalami kemunduran di bidang ilmu pengetahuan, terutama ilmu pengetahuan umum, atau kotemporari.

Ini, kata Almarhum, menyebabkan umat Islam sentiasa tunduk dan mengekori Barat dalam pelbagai bidang ilmu, politik, industri, perdagangan dan lain-lain.
Dunia umat Islam, katanya, tidak membuat senjata sendiri, melainkan bergantung dengan dunia Barat, terutama Amerika. Begitu juga pelbagai industri berat hanya dimiliki oleh Barat.

Demikian pelbagai kelemahan dunia umat Islam yang diutarakan oleh An-Nadwi. Pada hal, katanya, Islam adalah agama yang sangat mendorong kepada kemajuan, tetapi di tangan umat Islam, agama yang agung ini menjadi lesu dan tidak mampu menghadapi tantangan.

Ditambah lagi kini, wajah dunia umat Islam lebih buruk lagi dengan keganasan yang berlaku, terutama di negara Arab. Malah keganasan itu seolah-olah diexport ke negara Barat pula.

Insya-Allah, dalam tulisan akan datang, saya cuba mengupas lebih lanjut akan perbandingan dunia Barat dan dunia umat Islam, terutama mengenai perpecahan umat.

 

COMMENTS

Wordpress (0)