Malaysia Dateline

‘Wajah kesayangan’ rakyat: Pujian mengampu Bernama kepada menteri dikecam

Orang ramai mengecam Bernama yang dilihat terlalu mengampu pemimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) apabila menggelarkan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai ‘wajah kesayangan’ rakyat Malaysia.

Pengamal media Ahmad Lutfi Othman antaranya menganggap agensi berita negara itu boleh menggantikan Utusan Malaysia yang telah menamatkan operasinya pada 9 Oktober tahun lalu selepas 80 tahun diterbitkan.

“Alahai Bernama di bawah kerajaan pintu belakang, pewaris rejim BN. Boleh ganti Utusan yang sudah tidak beroperasi lagi,” bidasnya.

Sementara itu, pengguna Facebook Adam Tuan Mukhriz mengaitkan ungkapan membodek tersebut dengan nama lagu dan album Wajah Kesayangan Hamba (1976) nyanyian Hail Amir.

“Apa bendalah buat DG (Ketua Pengarah Kesihatan) Dr Hisham macam tu. Takde makna wajah kesayangan. Kau (Bernama) ingat ini Hail Amir ke apa?” sinisnya.

Ada juga yang berpendapat sikap mengampu Bernama itu terlalu berlebihan.

“Itulah kerja media pengampu. Kira dok puji memuja walhal tak setara mana pun,” tempelak Nurina Yasiri.

Bagi Mohammad Qusairie pula menulis, “Dah memang sepatutnya atau memang sebahagian daripada tugas beliau sebagai Menteri Kanan (Kluster) keselamatan bukannya wow sangat.”

Kelmarin, laporan Bernama ‘menobatkan’ Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno sebagai mula menjadi ‘wajah kesayangan’ rakyat Malaysia hanya kerana muncul dalam sidang media menyampaikan laporan perkembangan harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam sidang media harian.

Agensi berita nasional itu turut menyebut kemunculan Ahli Parlimen Bera tersebut setiap hari jam 2 petang sejak hampir tiga bulan lalu sebagai “dinantikan rakyat”.