Wajahmu di mana-mana, bukan hanya buruh tapi berniaga

Wajahmu di mana-mana, bukan hanya buruh tapi berniaga

Sejauh mana warga asing yang dibawa masuk ke negara ini benar-benar bekerja dengan majikan atau mereka berniaga sendiri? Persoalan ini timbul selepas tinjauan baru-baru ini mendapati warganegara Bangladesh, Nepal, India dan Myanmar dilihat seperti sudah memonopoli perniagaan di ibu kota.

Sejauh mana warga asing yang dibawa masuk ke negara ini benar-benar bekerja dengan majikan atau mereka berniaga sendiri? Persoalan ini timbul selepas tinjauan baru-baru ini mendapati warganegara Bangladesh, Nepal, India dan Myanmar dilihat seperti sudah memonopoli perniagaan di ibu kota.

Pemerhatian Malaysia Dateline pada 8, 13 dan 17 Februari lalu mendapati empat kelompok utama rakyat asing terbabit bukan sekadar buruh tetapi bertindak seperti tauke apabila menguasai ekonomi bandar di sekitar Leboh Pudu dan Jalan Masjid India.

Hanya penjaja makanan dan minuman di sekitar lokasi terlibat sahaja termasuk di Leboh Ampang tidak jauh dari Pasar Seni sebahagiannya terdiri daripada rakyat tempatan manakala bakinya pula daripada warganegara Indonesia.

Leboh Ampang pada cuti Tahun Baharu Cina 8 Februari lalu saksi limpahan imigran.

Di Leboh Pudu, hampir kesemua perniagaan yang beroperasi daripada barangan runcit sehingga restoran pada petang cuti sambutan Tahun Baharu Cina lalu diurus oleh warga asing walaupun pemiliknya mungkin Cina tempatan berdasarkan papan tanda yang usang di premis berkenaan.

Terdapat juga papan tanda baharu perniagaan yang dilihat mendapat kelulusan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) antaranya bernombor DBKL.JPL/IK01/0397/12/2011 tetapi premis merupakan sebuah restoran yang berkonsepkan selera warga asing.

Tinjauan selama sejam itu juga mendapati tidak kurang 10 penjaja warga Myanmar ‘membuka’ meja kecil bagi menjual daun sirih berkapur beserta pinang di kaki lima di kiri dan kanan sekitar jalan berkenaan dengan harga 4 helai RM1.00.

Salah seorang penjual warga Myanmar berusia lingkungan 20-an apabila didekati memberitahu Malaysia Dateline, dia sudah mencari rezeki di negara ini selama enam tahun.

Namun, ujarnya, dia dan isteri terpaksa menjual sirih kerana mendakwa pendapatan RM900 sebulan bekerja di sebuah restoran tidak cukup menampung kehidupan mereka bersama seorang anak berusia dua tahun.

Sepanjang tempoh tinjauan itu juga didapati warga asing bebas berjual beli tanpa adanya operasi mana-mana pihak berwajib termasuk anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Hanya kelihatan kereta peronda Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada pukul 6 petang melintas diikuti kereta peronda polis 15 minit selepas itu.

Peronda SPAD sekadar meninjau dari dalam keretanya sahaja.

Malaysia Dateline turut difahamkan pada hari tertentu terdapat satu trak milik pihak Imigresen berada di hadapan gedung beli-belah Mydin.

Seorang pekerja tempatan Mydin yang disapa memberitahu gaji asas untuk warga Nepal yang bekerja sebagai pegawai keselamatan dan peronda sahaja boleh mencecah RM1,500 sebulan.

Di hadapan bangunan Wisma Teo Guan Lee yang dindingnya dipenuhi lakaran bendera negara termasuk dari Bangladesh, Nepal dan India tidak jauh dari Mydin itu, Malaysia Dateline ditemani seorang penyalur maklumat kebetulan terserempak dengan seorang buruh Nepal yang sedang mengusung basikal baharu.

“Nepal program gift,” akuinya ringkas sambil tersenyum apabila ditanya di mana basikal reka bentuk terbaharu itu dibeli. Jawapannya itu sekaligus membuktikan wujudnya persatuan atau perniagaan yang dilakukan oleh warga asing di tengah-tengah ibu negara.

Sehubungan itu, dakwaan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Malaysia (MIMCOIN), Datuk Syed Jamarulkhan S Kadir hari ini kononnya pekerja dari Bangladesh komited dan setia berbanding warga Indonesia yang kononnya bertindak berniaga sendiri atau ‘lari’ ke tempat lain selepas beberapa bulan bekerja juga tidak tepat berdasarkan siasatan Malaysia Dateline.

Hal ini kerana di Leboh Pudu dapat dilihat premis yang papan tandanya tertera sebagai agensi pelancongan tetapi bisnes yang beroperasi terang-terang adalah restoran yang menepati selera warganegara dari Asia Selatan.

Mustahil DBKL tidak nampak papan tanda yang jelas bercirikan warga asing.

Bahkan, tidak jauh daripada premis itu juga terdapat kedai menjual barangan basah seperti buah dan sayur-sayuran dengan pelanggannya juga terdiri daripada warga asing.

Bebas berniaga tanpa tindakan di pihak berkuasa.

Selain itu, sumber juga memberitahu Malaysia Dateline terdapat sarang pelacuran di tingkat atas surau yang didirikan oleh warga Bangladesh di kawasan itu.

Tidak dapat dipastikan sama ada pemilik sarang pelacuran itu adalah warga asing atau rakyat tempatan tetapi difahamkan lokasi persundalan tersebut wujud kerana adanya permintaan daripada pekerja asing.

Iklan dalam tulisan asing di Leboh Pudu ini bukti tidak mustahil imigran sudah mampu mengupah bangsanya untuk bekerja.

TAGS