Malaysia Dateline

Wajar batalkan MOU dengan kerajaan untuk kembalikan fungsi pembangkang sebenar

Pembangkang harus sedar bahawa fungsi sebenar oposisi di Parlimen adalah lebih penting sebagai semak dan imbang setiap perjalanan kerajaan Persekutuan.

Malah semak-imbang yang dilakukan di Parlimen merupakan saluran terbaik dan bukannya semak-imbang runding cara di luar Parlimen dan kemudiannya sama-sama bersetuju atau ‘endorse’ segala keputusan rundingan dalam Parlimen.

Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria, pembangkang tidak perlu duduk semeja bersama kerajaan hanya untuk berbincang atau membuat akta baru, undang-undang baru, dasar-dasar baru mahu pun bajet tahunan negara.

“Apabila pembangkang duduk semeja bersama kerajaan, merangka dan merancang apa jua agenda kerajaan, maka pembangkang bukan lagi bersifat sebagai semak-imbang di Parlimen.

“MoU pembangkang dengan kerajaan yang turut melibatkan fungsi-fungsi dan peranan pembangkang di Parlimen, tidak menjadikan pembangkang itu berfungsi atau berperanan seperti yang sepatutnya di Parlimen.

“Bagi mengembalikan fungsi dan peranan pembangkang yang sebenar, adalah perlu dan wajar MoU bersama kerajaan dibatalkan. Sebetulnya medan yang sebenar bagi pembangkang bersuara adalah di Parlimen dan bukannya di media massa perdana atau di media sosial,” ujar beliau ketika dihubungi.