Malaysia Dateline

Wajar PM baharu dilantik ikut sokongan majoriti MP

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar melepaskan jawatan beliau jika hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen sepertimana telah berlaku di beberapa negeri sebelum ini.

Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berkata, PM baharu wajar dilantik berdasarkan sokongan majoriti Ahli Parlimen sekiranya calon pembangkang mampu mendapat sokongan majoriti.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir berkata, tiada keperluan diadakan pilihan raya mengejut dalam tempoh terdekat sama ada di peringkat pusat mahupun negeri.

Menurutnya, pilihan raya mengejut akan turut melibatkan kos yang tinggi sehingga mencecah hampir RM1 bilion serta penglibatan rakyat yang tidak bersalah.

“Perlembagaan Persekutuan atau Undang-Undang Tubuh Negeri memperuntukkan tempoh bagi sesuatu pilihan raya selama lima tahun dan seharusnya ia dihormati dan dipatuhi.

“Walaupun Langkah Sheraton membawa kepada kejatuhan kerajaan PH di peringkat Persekutuan dan negeri Johor, Melaka, Perak dan Kedah , perubahan ini berlaku adalah kerana pengkhianatan oleh wakil rakyat sama ada Ahli Parlimen mahu pun ADUN PH sendiri,” tegasnya.

Sehubungan itu, atas alasan tersebut jugalah, jelasnya, Yang di-Pertuan Agong menjalankan kuasanya di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan untuk melantik PM yang baharu berdasarkan sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Tidak bersekongkol

Menurut Faiz, isu peletakan jawatan tidak timbul dan bukan sesuatu yang penting kerana apabila PM hilang sokongan majoriti, beliau secara undang-undang perlu meletakkan jawatan bagi menjaga maruah demokrasi berparlimen dan amalan Perlembagaan.

Jelasnya, tindakan Umno yang mendesak supaya pilihan raya mengejut adalah suatu tindakan tidak bermaruah setelah mereka mengkhianati undi rakyat yang telah pun memilih PH menerajui kepimpinan negara setelah memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Umno sewajarnya tidak bersekongkol dengan pengkhianat dari kalangan ahli Parlimen PH untuk membentuk kerajaan dan menambah luka pengkhianatan ini.

“Tindak-tanduk Umno ketika ini yang mengiyakan kenyataan Tun Mahathir bahawa langkah Sheraton didorong tindakan terdesak Datuk Seri Najib Tun Razak adalah bagi mengelak hukuman penjara dengan merampas kerajaan sah PH.

“Rentetan itu, desakan ini merupakan satu tindakan tidak bermaruah dan Umno dilihat memandang enteng undi rakyat dan menjadikan undi begitu murah seolah-olah ianya tidak mempunyai nilai, ” ujarnya.

Beliau turut berpendapat Pulau Pinang juga tidak perlu mengadakan pilihan raya mengejut serentak dengan pilihan raya pusat sekiranya Parlimen dibubarkan dalam tempoh terdekat.

Tegasnya, kerajaan Pulau Pinang merupakan sebuah kerajaan yang utuh dan tidak goyang serta tidak perlu diadakan pilihan raya mengejut.

Walaubagaimana pun, jelasnya, negeri-negeri yang bertukar tampuk pemerintahan harus mengikut jejak pusat seandainya PRU dilaksanakan.

Faiz turut menyatakan kebimbangannya terhadap perasaan bosan yang dialami rakyat
dengan iklim politik yang berkecamuk.

Lebih parah lagi, katanya, jika anak muda semakin bosan dengan politking yang tiada berkesudahan seperti yang telah dipertontonkan oleh Perdana Menteri.

Sarannya lagi, generasi muda patut dididik untuk menjiwai dan mencintai politik yang matang, nilai dan berpegang teguh dengan prinsip demokrasi.