Malaysia Dateline

Wajarkah surat tawaran ke universiti awam diserahkan oleh Umno?

Wajarkah surat tawaran kemasukan ke Universiti Awam diserahkan oleh sebuah parti politik seperti yang dilakukan oleh Ketua Umno Bahagian Sik, Datuk Mohd Tajudin Abdullah pada 7 Oktober yang lalu.

Gambar tular berkenaan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kemasukan Pelajar Ke Universiti Utara Malaysia, yang diserahkan oleh Umno Bahagian Sik

Malah persoalan lain yang diutarakan Ketua AMK Kedah, Mohamed Firdaus Johari, apakah natijahnya surat tawaran kemasukan ke universiti itu diserahkan secara rasmi pula oleh Umno Bahagian dan bukannya oleh Kementerian atau pejabat pendidikan.

Menurut Firdaus, foto tular berkaitan majlis tersebut yang memaparkan ia dianjurkan oleh sebuah parti politik dan diadakan di premis parti tersebut, sudah pasti akan menimbulkan pelbagai persepsi.

“Apa kaitan sebenar parti politik tersebut dengan surat tawaran ke universiti sedangkan peluang pendidikan dan tawaran melanjutkan pelajaran adalah nikmat dan peluang untuk setiap rakyat.

“Pendidikan adalah keperluan asas yang menjadi tanggungjawab kepada setiap kerajaan dan ini tidaklah bermakna parti yang berada dalam kerajaan boleh pula memperlihatkan seolah-olah partinya yang mendahului kerajaan atau badan autoriti seperti Kementerian atau pejabat pendidikan.

“Menyampaikan surat tawaran secara rasmi menerusi parti politik adalah tindakan untuk menanam suatu pemikiran usang bersifat penjajahan minda terhadap masyarakat, keluarga, ibu-bapa dan bakal pelajar seolah-olah parti tersebutlah yang mencipta dan memberi peluang bagi melanjutkan pelajaran ke menara gading,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, sekiranya benar ingin mendukung aspirasi pendidikan menerusi platform parti politik atau menerusi ahli politik, maka adalah lebih sesuai sekiranya Umno Bahagian tersebut mengubahnya kepada ‘Majlis meraikan bakal-bakal pelajar UUM’ serta tidak harus memanipulasikan para pelajar universiti bagi mendapat ‘political mileage’ sedemikian.