Malaysia Dateline

Wajib tolak propaganda ‘jangan turun mengundi’, elak beri kelebihan kepada BN kembali berkuasa

Propaganda ‘jangan turun mengundi’ wajib ditolak dan diabaikan kerana kadar turun mengundi yang rendah akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk kembali berkuasa.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Hasbie Muda berkata, taktik BN membubarkan Parlimen untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semasa musim banjir telah berjaya.

“Maka, jangan biarkan propaganda ‘jangan turun mengundi’ pula menjadi kekuatan tambahan kepada BN.

Hasbie Muda

“Justeru, dengan mengambil semangat melakukan perubahan seperti yang berlaku dalam PRU lalu, saya menyeru kepada semua pihak agar menjawab semula propaganda songsang ‘jangan turun mengundi’,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, rakyat perlu difahamkan bahawa mereka memiliki kuasa yang kuat dan kukuh untuk melakukan perubahan dalam negara ini.

Dalam masa sama, Hasbie menyifatkan bahawa rakyat perlu sedar musibah demokrasi seperti Langkah Sheraton tidak akan berulang lagi selepas undang-undang lompat parti telah berkuat kuasa bermula 5 Oktober lalu.

“Pelaksanaan undang-udang larangan lompat parti ini telah meletakkan rakyat pada kedudukan yang lebih tinggi sebagai penentu masa depan negara.

“Inilah jasa besar rakyat kepada negara selepas bersatu hati tanpa mengira bangsa dan agama dengan melakukan perubahan dalam PRU lalu.

“Kejayaan besar ini telah mendapat perhatian dan dipuji di seluruh dunia,” kata Hasbie lagi.

Baca juga Jangan main lagi isu bubar Parlimen, nanti ramai tak mahu mengundi, ‘kamu juga yang rugi’, kata peguam

Baca juga DDNK ‘tak hensem takpa janji kaya’ digantung lesen selama 6 bulan