Malaysia Dateline

Wajibkan Akuan Bersumpah calon di PRN Sabah, elak lompat kem

Setiap calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 Sabah adalah digesa untuk menandatangani Akuan Bersumpah bertujuan supaya mereka terus setia kepada kem masing-masing.

AHMAD FARID

Presiden Majlis Belia Sabah (MBS) Ahmad Farid Sainuri (gambar) berkata, insiden menukar kem dalam kalangan Ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas memenangi kerusi adalah tidak salah secara teknikal namun ia adalah salah dari segi moral.

Tegas beliau, hal itu telah memberi gambaran tauladan yang sangat buruk kepada golongan belia-belia di negeri ini.

“Walaupun, ia masih dalam ruang lingkup amalan demokrasi yang dibenarkan, seharusnya integriti bukanlah perkara yang boleh didagangkan dengan sewenang-wenangnya apabila ia melibatkan mandat rakyat yang memilih seseorang berdasarkan watikah lantikan parti yang diwakilinya.

“Maka dengan ini, MBS menyeru kepada mana-mana calon yang bakal bertanding kelak supaya bersedia untuk menjadi wakil rakyat di pihak kerajaan yang produktif atau pun wakil rakyat di pihak pembangkang yang mampu membangkang dengan efektif.

“Ini adalah dalam amalan demokrasi dan yang lebih penting adalah aktiviti semak dan imbang, bukannya keghairahan untuk mendapatkan jawatan serta memenangi kepentingan tertentu,” jelas Ahmad Farid dalam satu kenyataan.