Usahawan kontroversi, Datuk Aliff Syukri kembali menjadi sorotan selepas berkongsi pendapat mengenai keperluan mengangkat panggilan majikan di setiap masa.
Menerusi satu hantaran di laman TikTok, Aliff memberi pesanan kepada para pekerja untuk sentiasa bersedia menerima panggilan majikan termasuk di luar waktu bekerja.
Usahawan berusia 37 tahun itu juga berpendapat sudah menjadi perkara wajib untuk pekerja menjawab panggilan majikan di setiap masa termasuk waktu cuti dan hari minggu.
Jelas ahli perniagaan kosmetik itu lagi, pekerja tidak seharusnya ‘berkira’ terutama dengan majikan sekiranya mahu merasa dihargai berikutan sikap mereka yang rajin.
“Majikan selalu telefon di luar waktu kerja, perlu angkat tak? Apabila majikan telefon di luar waktu kerja, kena angkat. Wajib angkat sebabnya mungkin ada perkara yang penting perlu disampaikan.
“Kalau majikan telefon waktu cuti, Sabtu dan Ahad kena angkat tak? Kena angkatlah sebab orang yang rajin akan dihargai oleh majikan. Kerana inilah jenis orang-orang yang tak berkira.
“Jadi walaupun masa cuti kena angkat telefon. Jawab ‘ya bos, kenapa bos? Ada apa yang boleh saya bantu?,” katanya dalam perkongsian video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya itu.
Bukan itu sahaja, Aliff juga menyarankan agar pekerja yang tidak sempat menjawab penggilan untuk menghantar pesanan bertanya apakah kemahuan majikan mereka.
Tindakan ini menunjukkan bahawa pekerja tersebut berdedikasi, rajin dan tentunya tidak berkira seterusnya lebih mudah untuk menerima kenaikan pangkat atau gaji.
“Katakan kau tengah sibuk, tak sempat nak angkat telefon. Segera hantar pesanan di aplikasi WhatsApp, tanyalah ‘kenapa bos telefon tadi saya tengah mandi, tengah berak’.
“Jangan senyap. Kalau anda tak boleh menghormati majikan, tak nampak dedikasi. Jadi macam manalah majikan anda nak naikkan pangkat atau gaji kalau macam itu.
“Sebagai seorang pekerja yang bagus, anda perlulah sentiasa mengangkat telefon majikan setiap masa walaupun malam, siang atau pagi ke petang. Cuma kalau tak sempat itu kenalah balas.” Ulasnya.
Seperti yang dijangka, kenyataan daripada Aliff Syukri ini diselar oleh pengguna TikTok dan menganggap majikan seperti itu tidak pandai menghormati privasi para pekerja.
Ramai juga individu berkongsi pendapat bahawa majikan terbaik adalah mereka yang tidak ‘berkira’ dengan bersikap tolak ansur dan menerima kritikan daripada para pekerja.