Malaysia Dateline

Wajibkan syarat 30 peratus barang buatan IKS di pasaraya asing

Kerajaan harus menguatkuasakan garis panduan yang menetapkan 30 peratus barang buatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijual di pasaraya asing.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata garis panduan itu bagaimanapun tidak dipatuhi pasaraya asing sekali gus tidak membantu memajukan barangan buatan PKS.

“Dalam garis panduan, pasaraya asing perlu menjual 30 peratus barang buatan PKS tetapi mereka tidak mematuhinya.

“Saya tidak kata PKS itu Bumiputera atau bukan, tetapi kebanyakan dalam industri itu secara automatiknya adalah Bumiputera.

“Persoalannya, kenapa kerajaan tidak menguatkuasakan garis panduan itu kepada pasaraya asing?” bidasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berpendapat kerajaan harus memaklumkan kepada pihak pasaraya bahawa mereka sepatutnya menjual barangan buatan PKS memandangkan ramai usahawan berada di sektor tersebut.

Ameer menambah, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) sebelum ini sememangnya banyak menjual barangan PKS tempatan.

“Kalau kerajaan kata pasaraya tempatan pun kena buat, insyaAllah kita akan buat, tetapi Mydin memang banyak jual barangan IKS.

“Kesimpulannya, adalah lebih elok kita semua bekerjasama ke arah kemakmuran negara dan saya juga berharap rakyat Malaysia akan membeli barangan buatan Bumiputera sebagai sokongan untuk menaikkan ekonomi mereka,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, sejak 2010 lagi, pertumbuhan pasar raya besar asing yang begitu meluas dilapor hanya mengaut keuntungan semata-mata hingga menjejaskan pertumbuhan PKS tempatan.

Terdapat pasar raya besar asing yang dikatakan menyekat kemasukan produk-produk tempatan dengan pelbagai alasan walaupun cuba menggambarkan mereka juga membantu termasuk turut memasarkan begitu banyak produk sendiri dengan promosi harga jauh lebih rendah.

Wujud juga pengasingan produk PKS tempatan apabila tidak dibariskan dengan keluaran pihak lain di rak-rak.