Malaysia Dateline

Wajibkan ujian saringan sebelum mahasiswa pulang ke kampus

Kerajaan digesa untuk mewajibkan dan menawarkan ujian saringan Covid-19 secara percuma kepada mahasiswa yang akan pulang ke kampus, susulan kes pelajar sekolah yang dijangkiti Covid-19 selepas pulang ke asrama.

Presiden Persatuan Belia Harmoni Malaysia, Usaid Asmadi berkata, Inisiatif ini perlu dilakukan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 di kolej kediaman oleh individu yang dijangkiti wabak tersebut tanpa atau belum menunjukkan sebarang gejala.

Menurutnya juga, kerajaan perlu memutuskan lebih awal berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sama ada ianya akan diteruskan atau tidak.

“Persoalan sama ada PKP ini akan diteruskan atau tidak selepas tempoh dua minggu, tidak perlu tunggu pada hari terakhir untuk diumumkan.

“Seharusnya perkara ini diputuskan lebih awal bagi memberi ruang mahasiswa bersedia untuk pulang ke kampus dengan lebih baik disamping urusan rakyat boleh dipermudahkan.

“Keputusan saat akhir yang acap kali berlaku sebelum ini ternyata merugikan banyak pihak khususnya rakyat golongan rentan,” tegasnya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam perkembangan lain Usaid berkata, keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menguji mereka yang menunjukkan simptom sahaja amat merisaukan kerana ia boleh menyebabkan penularan Covid-19 oleh individu tidak bergejala.

Hal itu katanya, boleh menyebabkan kes yang direkodkan tidak menggambarkan realiti sebenar, malah sikap sambil lewa dan penetapan SOP yang tidak tepat dengan keadaan sebenar boleh berlaku jika saringan dilakukan hanya pada yang bergejala sahaja.

Beliau juga berkata, kerajaan perlu melibatkan pemegang taruh yang bergerak secara langsung di lapangan dalam proses perbincangan dan membuat keputusan khususnya dalam aspek perangkaan SOP agar keputusan yang dilakukan benar-benar berkesan.

Tambahnya, keputusan yang seringkali mendapat respon negatif daripada rakyat serta perubahan dalam jangka masa singkat, menggambarkan kerajaan tidak memahami dengan baik permasalahan sebenar sebelum melakukan apa-apa keputusan walaupun sudah setahun negara berhadapan dengan wabak ini.

“Harmoni Malaysia menggesa pihak kerajaan agar mengambil perhatian yang lebih serius kepada sebarang cadangan dan komentar yang datang daripada pelbagai pihak sama ada daripada parti pembangkang, kumpulan pakar, gerakan sivil dan lain-lain selagi mana ia berasaskan fakta dan data yang berasas,” katanya lagi.