Wakil Adun, anggota Parlimen johor diingat tidak manipulasi peruntukan kawasan

Wakil Adun, anggota Parlimen johor diingat tidak manipulasi peruntukan kawasan

Pegawai Anggota Dewan Undangan Negeri dan anggota Parlimen negeri ini diingatkan supaya tidak menyalahgunakan dan memanipulasi peruntukan kawasan menerusi  sebarang habuan dan manfaat berbentuk komisen daripada peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi, Tan Hong Pin berkata amalan kontraktor dan pembekal yang dilantik Pejabat Daerah ‘melencongkan’ 30 peratus daripada peruntukan diberikan kerajaan negeri adalah amalan tidak berintegriti dan akan merencatkan semangat Malaysia Baharu.

Tan berkata kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) tidak akan sesekali berkompromi malah komited untuk bertindak dengan tegas mengikut lunas-lunas perundangan yang sewajarnya.

“Mandat kukuh diberikan rakyat kepada kerajaan PH bertitik punca kepada kebinasaan integriti sepanjang pentadbiran kerajaan terdahulu dengan berpaksikan kepada aspek bersih, amanah dan merakyat.

“Ia selari dengan kenyataan Anggota Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang bahawa tindakan melencongkan peruntukan dalam bentuk komisen sedemikian adalah dilarang sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau dalam pada itu menggesa dan menyeru rakyat di negeri ini untuk terus aktif dengan melaporkan sebarang urusan mencurigakan membabitkan peruntukan yang disediakan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Pejabat Menteri Besar Johor.

“PH yang dipilih oleh rakyat secara demokratik pada tahun lepas harus berjiwa besar dalam membanteras amalan politik naungan, politik wang dan politik kotor.

“Buat rakyat Johor, saya amat menggalakkan semua untuk berani tampil memantau dan melaporkan jika terdapat sebarang amalan meragukan yang bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang, ” katanya lagi.

Loading...

— BERNAMA