Wakil AS membisu apabila diajukan soalan kekejaman Zionis, kata Presiden Mapim

Wakil AS membisu apabila diajukan soalan kekejaman Zionis, kata Presiden Mapim
Kira-kira 1,000 orang berkumpul di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, di Jalan Tun Razak, selepas solat Jumaat hari ini sempena hari peringatan Al-Quds.

“Tidakkah kamu mempunyai anak dan ibu? Apakah perasaan kalau keluarga kamu kena kekejaman sebegini? soal Azmi kepada wakil Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia, sehingga membuatkannya terdiam.

Itulah ayat yang digunakan Presiden Majlis Perundangan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid sebaik menyerahkan memorandum membantah kekejaman rejim Zionis terhadap Palestin.

Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul berucap di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat pada himpunan hari Al-Quds Sedunia

Katanya, pihaknya turut menyoal berhubung kepentingan dan keuntungan mereka menjadi alat kepada Israel, namun semua itu tidak dapat dijawab oleh wakil kedutaan di situ.

“Pada masa sama, saya turut memberitahu perbuatan yang dilakukan negaranya telah menyebabkan rakyat Palestin menderita selama 70 tahun.

“Rumah dibakar, rakyat dibunuh, tanah dirampas dan jutaan jadi pelarian, namun sekali lagi dia hanya mendiamkan diri.

“Kita buat memorandum ini untuk bertemu dengan duta AS supaya dapat menyerahkannya kepada Presiden, Donald Trump, tetapi seperti tahun-tahun sebelumnya, dia tak nak bertemu dengan kami.

Peserta himpunan mula berarak dari Masjid Tabung Haji kira kira jam 2.15 petang beserta laungan ’Allahuakbar! ke Kedutaan Amerika Syarikat

“Ini sekali lagi menunjukkan AS sebuah negara yang tidak berani untuk berjumpa dengan kami,” katanya ketika ditemui pemberita, di hadapan Kedutaan AS, selepas menyerahkan memorandum itu, hari ini.

Memorandum itu diserahkan kepada Timbalan Kaunselor Politik (Jabatan Hal Ehwal Politik), Daniel W Wright dan isi kandungannya secara keseluruhan bertujuan menyuarakan bantahan Malaysia terhadap kekejaman Israel yang mendapat sokongan daripada negara AS.

Kira-kira 1,000 orang berkumpul di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, di Jalan Tun Razak, selepas solat Jumaat hari ini sempena hari peringatan Al-Quds.

Mereka mula berarak dari Masjid Tabung Haji kira kira jam 2.15 petang beserta laungan ’Allahuakbar!’, ‘jahanam Amerika!’, ‘hidup Islam!’ dan ‘bebaskan Palestin!’.

Sementara itu, peserta dari Johor Bahru, Muhammad Saufi Ibrahim, 41, ketika ditemui berharap, Palestin akan dibebaskan daripada cengkaman rejim Zionis satu hari nanti.

Muhammad Saufi Ibrahim, 41

“Saya memang simpati dengan nasib rakyat Palestin. Penderitaan mereka tidak henti-henti, dari hari ke hari hidup mereka tak pernah aman. Semoga rakyat Palestin boleh hidup aman macam kita,” katanya.