Wakil Pas dalam MPI bukti parti bukan sesat

Wakil Pas dalam MPI bukti parti bukan sesat

Perlantikan Mursyidul Am Pas Dr Haron Din sebagai Ketua Kluster dakwah Majlis Perundingan Islam (MPI) membuktikan Pas bukan parti sesat dan tidak terpengaruh dengan pemikiran Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) seperti yang didakwa pihak tertentu.

Muhammad Najhan Shahir HalimPengarah Penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat Muhammad Najhan Shahir Halim berkata, tidak mungkin parti yang dianggap sesat dan juga terlibat dengan ektremisme dijemput sebagai anggota MPI.

Sebaliknya kata beliau, perlantikan ini membuktikan Pas sudah diiktiraf sebagai badan dakwah yang sangat berpengaruh dan dinaungi tokoh ulamak yang berpengaruh di negara ini.

“Atas faktor ini, bersesuaian dengan ciri utama Pas itu sendiri iaitu sebagai sebuah jamaah dakwah selain tarbiyyah dan siyasah.

“Pas melihat penglibatan ini adalah positif kepada perjuangan Islam yang mengutamakan pendekatan politik perdamaian mendahului politik provokasi dan kebencian,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Pada 12 Februari lalu timbalan perdana menteri Datuk Seri Zahid Hamidi melantik Haron sebagai ketua kluster dakwah yang akan membawa cadangan kepada MPI untuk disepakati bersama dan menyelaraskan perbincangan pada masa depan.

Muhammad Najhan juga berkata, perlantikan Haron dalam MPI membuktikan dakwah dan pendekatan Islam yang dibawa oleh PAS sudah dirasai dan terkesan pada masyarakat dan negara ini.

“Ini bukti Pas sebuah jamaah atau kumpulan dakwah yang bersifat alami atau universal.

“Pas  semenjak sekian lama sudah berperanan dengan dakwahnya di serata dunia dan seluruh pelosok tanah air,” katanya.

Tambahan pula ujar beliau, Haron ialah tokoh dakwah dalam negara ini yang selama ini menjadi rujukan dari pelbagai pihak sama ada dari kawan mahupun lawan.

“Ketokohan Ustaz Dr Haron Din dalam bidang dakwah yang satu ketika dahulu merupakan panel forum dakwah terkenal di rancangan televisyen yang menaikkan kepopularan rancangan tersebut dan kemudiannya digam oleh pihak televisyen disebabkan beliau terlibat dengan PAS,” kata beliau yang juga Setiausaha Dewan Ulamak Pas Selangor.

Selain itu katanya, perlantikan ini adalah satu penghargaan buat Pas atas penglibatan dalam MPI dan asas perjuangan Pas tidak lagi dipandang remeh sebaliknya menjadikan kekuatan kepada Pas yang tidak dimililki parti lain.

“Keilmuan dan kepakaran ahli Pas dalam agama dan hal ehwal agama telah diperakui dengan perlantikan ini dan ia adalah satu penghargaan yang cukup tinggi buat sebuah parti Islam dalam negara ini.

“Ia menunjukkan juga bahawa nama Islam pada PAS sudah tidak lagi boleh dimomokkan dan disindir kerana selayaknya PAS sebuah jamaah dan parti yang berasaskan Islam sudah diakui ke’Islaman’nya,” katanya.

TAGS