Malaysia Dateline

Wakil Pas dan Bersatu lari tinggalkan mesyuarat yang dipengerusikan PM, kata MKT Umno

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mendakwa, Menteri Besar Terengganu bercakap secara yang mengelirukan dan tidak tepat dalam sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu baru-baru ini.

Katanya, kenyataan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar bahaswa sikap abang besar Umno menjadi punca kegagalan perundingan kerusi ini mengelirukan dan tidak tepat.

“Apa yang berlaku dalam rundingan kerusi di antara Umno, Bersatu dan Pas, saya tahu kerana saya adalah salah satu wakil Umno.

“Tidak ada satu persetujuan yang dicapai di dalam rundingan tersebut sepertimana yang didakwa oleh Menteri Besar Terengganu kerana wakil Bersatu dan Pas lari meninggalkan bilik mesyuarat yang dipengerusikan oleh perdana menteri,” kata beliau menerusi satu video yang disebarkan.

Kata Rahman yang turut serta dalam mesyuarat perundingan kerusi itu, yang berlaku dalam mesyuarat ini adalah satu masalah yang besar bila mana parti Perikatan Nasional (PN)/Bersatu meletakkan syarat yang terlalu ketat, tidak munasabah dan tidak boleh diterima oleh Umno.

Dalam sidang DUN Terengganu Rabu lepas, Ahmad Samsuri Mokhtar mendedahkan sikap ‘abang long’ yang ditonjolkan oleh pemimpin tertinggi Umno menyebabkan tiga parti iaitu Pas, Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) gagal membentuk kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurutnya, ia berdasarkan penglibatan beliau secara langsung di dalam siri rundingan bagi membentuk kerjasama tiga parti tersebut dalam PRN Melaka.

“Perbincangan hampir berjaya menemui penyelesaian apabila tiga parti bertemu selepas mendapat mandat ketua parti masing-masing dalam agihan kerusi.

“Pada 27 Oktober, keputusan agihan kerusi ialah Umno (lima), Pas (dua), Bersatu (dua) dan kali kedua pada 29 Oktober, Umno (enam), Pas (dua), Bersatu (tiga), di mana beberapa persetujuan telah dicapai dan cadangan ‘pre-election agreement’ dirangka untuk kerjasama dalam PRN Melaka

“Namun langit tidak selalu cerah, pada 3 November lalu, pasukan perunding kecewa selepas dimaklumkan seorang ketua parti akhirnya tidak bersetuju dan tetap mahukan tiga penjuru.

“Semua kecewa, tapi apa nak buat, sikap abang long inilah yang mengganggu kerjasama bersama,” katanya ketika ketika sesi penggulungan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Rabu.