Malaysia Dateline

Wakil pembangkang nafi dakwaan Ketua Pengarah Kesihatan

Wakil Ahli Parlimen Pembangkang menafikan bahawa mereka bersetuju tangguh sidang Parlimen sebagaimana dinyatakan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah.

Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook menegaskan bahawa wakil pembangkang tidak pernah bersetuju untuk menangguhkan Parlimen jika ada kes Covid-19 di Parlimen.

Katanya, pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Speaker Dewan Rakyat pada pagi Isnin, 26 Julai yang lalu, beliau menghadiri mesyuarat tersebut mewakili DAP manakala Saifudin Nasution mewakili PKR dan Dr Dzulkefly Ahmad mewakili AMANAH.

“Kami bertiga senada bahawa mesyuarat Persidangan Parlimen mesti diteruskan dengan mengambil kira langkah-langkah SOP yang telah dijalankan seperti saringan sebelum sidang untuk semua Ahli Parlimen.

“Saya juga mencadangkan supaya kalau ada kebimbangan, kami sanggup membuat ujian saringan setiap minggu dan sekiranya ada Ahli Parlimen yang didapati positif, maka beliau dikuarantinkan secara terus,” katanya.

Saringan ujian yang melibatkan lebih 1000 orang telah diadakan di Parlimen pada hari Khamis lalu dan kadar positiviti hanya 1% dan adalah tidak wajar untuk menutup terus Parlimen selama 2 minggu.

Beliau menganggap kenyataan Noor Hisham bahawa wakil pembangkang bersetuju dengan penangguhan Parlimen adalah kenyataan yang mengelirukan orang ramai.

Terdahulu, sebelum sidang khas Parlimen itu Kementerian Kesihatan telah mencadangkan agar persidangan itu ditangguhkan sehingga tahap vaksinasi di Lembah Klang mencecah sekurang-kurangnya 40 peratus.

Pilihan kedua, kata Noor Hisham, adalah persidangan Parlimen diadakan dengan langkah berjaga-jaga, seperti jumlah kehadiran dikurangkan dan tempoh persidangan dipendekkan, namun persidangan harus segera ditangguhkan sekiranya kes Covid-19 dikesan.

Katanya, mesyuarat dua pihak yang terdiri daripada wakil kerajaan dan pembangkang pada 26 Julai telah bersetuju dengan pilihan kedua.