Wakil rakyat bebas di Sabah sedang pertimbang sertai parti lain, dakwa Hajiji

Wakil rakyat bebas di Sabah sedang pertimbang sertai parti lain, dakwa Hajiji
Datuk Hajiji Noor

 Bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata beliau bersama beberapa wakil rakyat bebas di negeri ini, kini sedang membuat penelitian dan mempertimbangkan untuk menyertai mana-mana parti tempatan atau parti yang berpangkalan di Semenanjung.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulaman berkata namun pihaknya telah membuat keputusan untuk tidak menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) atau kembali menyertai Umno.

“Kita sedang melihat mana parti yang sesuai untuk disertai dalam masa satu bulan ini. Namun kita tidak akan sertai Warisan,” katanya kepada selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2019 Parti Bersatu Sabah (PBS) semalam.

Pada 12 Dis tahun lepas seramai 13 wakil rakyat daripada Umno keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas kerana tidak yakin dengan hala tuju parti itu di negeri ini.

Selain Hajiji, wakil rakyat lain yang telah meninggalkan Umno ialah lima Anggota Parlimen iaitu Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Yamani Hafez Musa (Sipitang), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Zakaria Edris (Libaran) dan Datuk Rahim Bakri (Kudat).

Sementara itu ADUN lain ialah Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Japlin Akim (Usukan), Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk Gulam Haidar Khan (Kawang), Datuk Mohd Arifin Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan) dan Datuk Nizam Titingan (Apas).

Bagaimanapun ADUN Tempasuk, Musbah baru-baru ini telah menyertai Warisan.

Hajiji berkata walau telah menjadi wakil rakyat bebas, namun pihaknya kini masih menjalinkan kerjasama dengan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR ) di bawah Gabungan Bersatu Sabah (GBS).–BERNAMA