Wakil rakyat BN usah semua keluar, lawan MP Pas tidak mencabar

Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin menyeru agar wakil rakyat BN usah semuanya meninggalkan parti mereka kerana perdebatan hanya dengan MP Pas yang digelarnya ‘parti suci’ adalah tidak mencabar.

Beliau mengulas keputusan MP Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali hari ini yang mengumumkan keluar Umno dan BN ketika 10 komponen parti dacing itu bertindak meninggalkan gabungan blok politik tersebut.

Sehubungan itu, Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional berkenaan bimbang tiada penampilan BN sebagai pembangkang pada sidang Dewan Rakyat akan datang jika keputusan keluar dari ‘parti sarkas’ yang digelarnya itu berterusan.

“Bila baca berita kawan baik saya YB Bagan Serai isytihar keluar parti sarkas, jujurnya saya agak risau.

“Bukan apa, saya risau nanti pada masa sidang Parlimen bermula InsyaAllah 17 Julai nanti, takut-takut dah tak ada seorang pun pembangkang dari parti sarkas,” ujarnya.

Walaupun sidang Parlimen penggal ini masih mempunyai 18 MP Pas sebagai pembangkang, jelasnya, situasi itu dijangka tidak menyaksikan perbahasan Parlimen yang sengit.

“Mungkin ada orang kata pula, tak mengapa YB, bukankah masih ada 18 YB parti suci.

“Betul, tapi lawan dengan MP parti suci di Dewan Rakyat (berdasarkan track record perfomance MP mereka dalam sidang yang lepaslah) tak syok dan tak thrill,” tempelaknya.

Bahkan secara sinis, Hanipa mengibaratkan PH sebagai pemain sukan dunia terkenal yang berentap dengan Pas di Dewan Rakyat tidak ubah seperti ketika sesi latihan sahaja.

“Kalau PH ibarat Lin Dan (pemain badminton China) atau Roger Federer (pemain tenis Switzerland), lawan parti suci (Pas) di Dewan Rakyat macam mereka berdua main badminton atau tenis ketika latihan saja. Tak best!” sindirnya lagi.

Datuk Dr Noor Azmi Ghazali

Untuk rekod, keputusan Noor Azmi meninggalkan Umno-BN sekali gus menyebabkan Umno kini tinggal 53 daripada 54 kerusi di Dewan Rakyat.

Noor Azmi merupakan ahli Parlimen pertama keluar Umno selepas BN kalah teruk dalam PRU-14 pada 9 Mei lalu.

Walau bagaimanapun, Umno pada masa ini kekal sebagai parti terbesar di Parlimen, diikuti PKR (47) dan DAP dengan 42 kerusi.

Sementara itu, pecahan 18 Ahli Parlimen Pas mengikut negeri menyaksikan separuh daripadanya di Kelantan manakala enam dari Terengganu dan tiga lagi dari Kedah.

6.7
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 5.0