Malaysia Dateline

Wakil rakyat DAP buka kedai baju raya percuma sempena raya

Sayu rasa hati apabila tahun ini sekali lagi Aidilfitri bakal disambut dalam suasana perintah kawalan pergerakan (PKP) seperti tahun sebelum. Ramai orang kurang bernasib baik menyambutnya dalam suasana sedih kali ini akibat Covid-19.

Bagi memberi sinar harapan dan menceriakan Aidilfitri masyarakat Muslim serata negara, wakil-wakil rakyat DAP telah melaksanakan pelbagai aktiviti, serta mengedarkan sumbangan bagi membantu penduduk di kawasan masing-masing.

Anthony Loke memberikan sumbangan menjelang hari raya untuk membantu mengembirakan mereka yang kurang bernasib baik.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook mempunyai cara tersendiri membantu rakyat di kawasannya.

Melalui Pusat Khidmat Parlimen Seremban, beliau telah membantu beberapa suri rumah di kawasan Seremban untuk menjual kuih raya yang mereka buat dengan membantu mempromosikan inisiatif ini.

Pusat Khidmat Parlimen Seremban juga telah menempah 1,700 balang kuih raya dan sebahagian besar akan dihadiahkan kepada frontliners sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan mereka melawan Covid-19.

Pusat Khidmat Anthony juga telah membantu menukar semua lampu pagar di perkarangan Masjid Jamek Bandar Seremban dan memasang lampu-lampu hiasan Aidilfitri bagi memberi keceriaan kepada penduduk sekitar yang bakal menyambut Aidilfitri minggu hadapan.

KEDAI BAJU RAYA PERCUMA

Di Johor, ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dan ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi melalui pusat khidmat Parlimen masing-masing telah membuka Kedai Baju Raya Percuma bagi membolehkan mereka yang kurang berkemampuan dapat beraya dengan pakaian yang cantik dan merasa nikmat Aidilfitri seperti masyarakat lain.

Lim Lip Eng di kedai baju raya terpakai yang dijual dengan harga RM1 sehelai sahaja untuk membantu penduduk di kawasannya.

Pakaian-pakaian ini walaupun adalah pakaian terpakai, namun semuanya masih elok dan membolehkan golongan susah mengambil pakaian yang mereka suka secara percuma tidak kira lelaki, perempuan ataupun kanak-kanak.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dengan kerjasama Pakatan Harapan (PH) Kepong juga turut menganjurkan sebuah program hampir serupa iaitu “Preloved Boutique Kepong” yang membolehkan masyarakat sekitar membeli pakaian terpakai yang disukai mereka dengan harga RM1 sahaja.

Program ini telah diadakan di Dewan Pangsapuri Permata Fadason pada 1 dan 2 Mei lalu dan mendapat sambutan baik oleh penduduk Kepong, lebih-lebih lagi ia membolehkan keluarga yang kurang berkemampuan mendapatkan pakaian terpakai ‘baharu’ bagi menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.

Nga Kor Ming membantu penduduk kawasannya untuk membuat persiapan menjelang hari raya.

Ahli Parlimen Teluk Intan merangkap Pengerusi DAP di Perak, Nga Kor Ming pula aktif melakukan Jelajah Kasih Rakyat dengan menyampaikan sumbangan hari raya Aidilfitri berupa pek makanan kering dan bantuan wang tunai kepada keluarga-keluarga kurang berkemampuan di serata Perak.