Wakil rakyat DAP gesa MAIS-JAIS siasat Jamal guna van jenazah, keranda

Wakil rakyat DAP gesa MAIS-JAIS siasat Jamal guna van jenazah, keranda

Lau Weng Sang Adun Kampung Tungku, Lau Weng San hari ini menggesa Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyiasat Datuk Seri Jamal Md Yunos berhubung kesalahan menggunakan kemudahan masjid bagi agenda politik peribadi.

Beliau membuat gesaan berkenaan merujuk kepada aksi gimik Pengerusi Gabungan NGO Negeri Selangor itu yang membawa van jenazah dan keranda di depan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor.

“Sungguhpun ada van jenazah yang diuruskan oleh syarikat swasta dan individu tertentu, kebanyakkan van ini adalah sumbangan daripada kerajaan Persekutuan atau negeri atau dibeli melalui kutipan derma daripada masyarakat Muslim dan ahli-ahli kariah setempat.

“Adakah aset-aset institusi agama Islam telah diperalatkan oleh orang politik seperti Jamal Yunos daripada Umno untuk kepentingan politiknya sendiri?

“Justeru itu, adalah menjadi persoalan orang ramai apabila kelihatan sebanyak 15 van jenazah mengiringi Jamal Yunos dalam protes anjurannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jamal yang Ketua Umno Bahagian Sungai Besar melakukan aksi itu bagi mempertikaikan beberapa program kerajaan negeri termasuk skim khairat kematian.

Skim yang dikhaskan untuk warga tua berusia 60 tahun ke atas itu diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan Selangor di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) bagi membantu waris dalam menguruskan kematian dengan sumbangan secara percuma sebanyak RM2,500.

Mengulas lanjut, Weng San yang juga Penolong Bendahari DAP Selangor berkata, perkara yang dilakukan Jamal itu harus dipandang serius kerana masyarakat seringkali diingatkan bahawa institusi agama Islam harus dihormati dan tidak seharusnya dijadikan medan berpolitik.

“Sudah pastinya, van-van jenazah milik masjid harus dianggap sebagai aset masjid dan sebahagian daripada institusi dan jentera pentadbiran masjid itu sendiri.

“Ia tidak boleh sewenang-wenangnya disalahgunakan oleh orang-orang politik seperti Jamal Yunos untuk agenda politiknya sendiri,” katanya.

Weng San turut melampirkan pautan video Youtube yang memaparkan secara jelas nombor pendaftaran van jenazah yang digunakan Jamal untuk aksi gimiknya itu di dalam kenyataannya bagi membantu siasatan pihak Mais dan Jais.

“Sekiranya tuduhan ini adalah benar, maka saya menyeru pihak Mais dan Jais agar mengambil segala tindakan yang mungkin dan tegas terhadap mereka yang menyalahi undang-undang,” ujarnya.

TAGS