Malaysia Dateline

Wakil rakyat DAP tawar harga subsidi kit ujian kendiri untuk B40

Pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin baru-baru ini bahawa Malaysia bakal memasuki fasa endemik Covid-19 bermula hujung Oktober ini bermakna rakyat Malaysia perlu bersedia untuk hidup di samping Covid-19.

Oleh itu, dalam memastikan kehidupan rakyat sentiasa mudah dan selamat, beberapa wakil rakyat DAP telah mengambil inisiatif untuk menawarkan harga subsidi bagi kit ujian kendiri Covid-19 khas bagi golongan yang memerlukan.

Antaranya, DAP Johor baru-baru ini telah melancarkan Kempen Kit Ujian Kendiri ‘Peduli Johor’ dengan setiap indvidu boleh membeli kit tersebut dengan harga subsidi.

Ahli parlimen Kluang, Wong Shu Qi berkata, kempen itu dilancarkan bagi mengalakkan lebih ramai orang menjalankan ujian saringan kendiri.

“Penduduk Kluang boleh mendapat kit tersebut di pejabat saya dengan harga RM10 setiap unit bagi keluarga B40 dan RM18 bagi keluarga bukan B40.

“Oleh sebab stok amat terhad, setiap isi rumah dihadkan pembelian maksimum lima unit sahaja,” katanya seperti dipetik Johorkini.

Tambah Shu Qi, pihaknya menyambut baik pengumuman kerajaan yang menetapkan harga siling bagi harga borong dan harga runcit kit ujian kendiri covid-19.

“Walaupun kerajaan pusat telah menetapkan harga siling bagi harga runcit, tapi RM19.90 masih dianggap terlalu tinggi bagi golongan B40.

“Kami menggunakan duit sendiri untuk menyediakan subsidi ini kerana kami tahu ada orang yang memerlukan kit ujian ini tetapi harga masih terlalu mahal bagi mereka.

“Sekiranya kami wakil rakyat pembangkang dapat menyediakan subsidi bagi mereka untuk membeli kit ujian dengan harga RM10, saya percaya kerajaan negeri mahupun persekutuan mesti berkemampuan melaksanakan dasar dan mekanisme yang lebih baik daripada pihak kami,” ujarnya.

Manakala di Rasah pula, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Rasah menawarkan kit ujian kendiri Covid-19 berharga RM9.90 khas untuk penduduk di Parlimen Rasah.

Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin berkata, pihaknya menyediakan 1,000 set kit ujian Covid-19 dengan harga rendah berbanding pasaran iaitu RM19.90 bagi membantu meringankan beban penduduk.

Menurutnya, kit ujian Covid-19 itu merupakan salah satu medium untuk membantu kerajaan mencegah penularan wabak tersebut dalam komuniti.

“Kalau boleh saya ingin menggalakkan setiap keluarga ada kit ujian Covid-19 ini bagi memastikan diri mereka benar-benar bebas serta tidak dijangkiti.

“Kalau rasa tidak selesa atau tidak sedap badan, mereka boleh membuat saringan dengan kit ujian kendiri ini di rumah tanpa perlu berbelanja mahal,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Tambah Kee Chin, pejabatnya memperuntukkan subsidi untuk menampung kos pembelian kit ujian kendiri Covid-19 tersebut bagi membolehkan penduduk Rasah hanya membayar separuh harga pasaran.

Di Pulau Pinang pula, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan pinjaman alat saringan oksigen (oxygen concentrators) kepada mereka yang memerlukan.

Selain pinjaman alat saringan oksigen, mereka turut mengagihkan kit ujian kendiri Covid-19 secara percuma khas kepada golongan berpendapatan rendah (B40).

ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong berkata bahawa sebanyak 2,000 set kit ujian kendiri disediakan kepada penduduk yang diarahkan menjalani kuarantin di rumah selepas disahkan positif Covid-19.

Beliau berkata, sebanyak 2,000 set kit ujian kendiri disediakan dan akan diagihkan berdasarkan siapa cepat dia dapat.

“Pusat Khidmat KADUN Batu Lancang telah melancarkan sumbangan kit ujian Covid-19 percuma kepada penduduk dalam kategori B40 di kawasan ini yang disahkan positif jangkitan dan menjalani kuarantin di rumah.

“Keutamaan akan diberikan kepada mereka yang disahkan bergejala, kes suspek, kontak rapat dan individu dalam pemantauan supaya mereka boleh melakukan ujian sendiri di rumah,” katanya.

Tambahnya, bagi golongan B40 yang tidak mempunyai simptom tetapi hendak melakukan ujian di rumah, mereka juga boleh membeli kit ujian kendiri tersebut dengan harga subsidi iaitu hanya RM10 seunit.

Ah Teong berkata, Pusat Khidmat KADUN Batu Lancang turut menyediakan perkhidmatan pinjaman pulse oximeter bagi membantu mereka yang dijangkiti untuk mengawal dan mengawasi bacaan penafasan semasa kuarantin kendiri.

Turut menyediakan bantuan yang sama ialah ADUN Air Itam; Joseph Ng Soon Siang, ADUN Komtar; Teh Lai Heng dan ADUN Sungai Pinang; Lim Siew Khim.