Wakil rakyat dibenarkan sentuh isu 1MDB, dana RM2.6bilion

Wakil rakyat dibenarkan sentuh isu 1MDB, dana RM2.6bilion

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Yusof hari ini menarik balik keputusan yang tidak membenarkan Anggota Dewan Rakyat menyentuh isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana RM2.6 billion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mohamad Ariff berkata, beliau telah meneliti keputusan dibuat Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebelum ini yang menyatakan isu 1MDB adalah subjudis kerana dalam siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

“Saya telah menimbang perkara ini dan mentafsirkan bahawa mahkamah dalam Peraturan Mesyuarat hanya terpakai kepada mahkamah dalam Malaysia dan tidak terpakai kepada mahkamah luar negara,” katanya selepas selesai sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini, lapor Bernama.

Beliau membuat keputusan itu sebagai jawapan kepada permohonan Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) pada 25 Julai lepas yang ingin tahu sama ada keputusan dibuat Pandikar Amin sebelum ini berkaitan 1MDB masih terpakai di Dewan Rakyat.

Berhubung isu dana RM2.6 bilion pula, Mohamad Ariff memberikan alasan kes berkenaan tiada lagi dalam pertimbangan mahkamah.

Jelasnya, Mahkamah Tinggi sebelum ini telah menolak permohonan untuk mengadakan perintah sekatan mahkamah berhubung isu dana RM2.6 bilion itu.

“Mahkamah telah memutuskan untuk menolak permohonan tersebut berdasarkan permohonan tiada merit pada peringkat interlokutori dalam kes sivil,” katanya.

Bagaimanapun, Mohamad Ariff membuat satu lagi keputusan untuk tidak membenarkan perbahasan melibatkan isu yang tertakluk dalam kes mahkamah membabitkan Najib yang dituduh di Mahkamah Tinggi terhadap tiga dakwaan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

“Berhubung interim gag order yang diperoleh peguam bela YB (Yang Berhormat) Pekan di mana tidak boleh menimbulkan isu-isu berkaitan yang sedang dihadapi oleh beliau boleh disebut dalam dewan ini, saya telah meneliti perkara ini dan memutuskan bahawa ia melibatkan pendakwaan kes jenayah di mahkamah Malaysia.

“Oleh itu, tidak dibenarkan ia dibincang, dibahas atau disebut dalam dewan ini sebagai mana sekatan dalam gang order tersebut,” katanya

9.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS