Malaysia Dateline

Wakil rakyat GPS diharapkan tidak berpolitik di sekolah

Wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) diingatkan supaya tidak berpolitik apabila diberikan kebenaran memasuki kawasan sekolah bagi menghadiri majlis dan program di negeri ini.

Menurut Pegawai Khas Ahli Parlimen Stampin, Abdul Aziz Isa, sebagai seorang ahli politik wakil rakyat dalam kalangan Kerajaan Negeri Sarawak di bawah GPS janganlah sewenang-wenangnya bercakap berkaitan politik khususnya kepada anak-anak murid yang belum matang tentang politik semasa.

Katanya, tindakan berpolitik di dalam kawasan sekolah adalah tidak profesional kerana pelajar-pelajar di peringkat rendah dan menengah masih belum memahami situasi politik yang sebenarnya.

“Saya berharap mereka tidak lagi mengambil kesempatan untuk meluaskan politik mereka semata-mata apabila berada di kawasan sekolah.

“Ini kerana, saya yakin bahawa murid-murid dan para pelajar belum lagi memahami landskap politik sebenarnya,” tegas beliau.

Abdul Aziz berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Apresiasi Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Landeh di Kuching hari ini.

Kelmarin, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching menegaskan tiada sebarang dasar yang menghalang wakil rakyat termasuk pihak pembangkang daripada menghadiri program-program yang dianjurkan sekolah.

Mengulangi pendirian itu, Teo menjelaskan semua majlis di sekolah yang melibatkan orang kenamaan atau individu tertentu hendaklah memohon kebenaran daripada kementerian melalui Pengarah Pendidikan Negeri

Tegas beliau, keutamaan hendaklah diberikan kepada menteri pendidikan, timbalan menteri pendidikan, ketua setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), ketua pengarah pelajaran, pengarah pendidikan negeri atau wakil-wakil mereka untuk majlis perasmian sama ada di peringkat jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah atau di peringkat sekolah.

Teo berkata Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan satu garis panduan kepada pentadbir sekolah melalui Surat Pekeliling Ikthisas Bil 3/ 2008 yang bertujuan memastikan program dijalankan di sekolah mencapai objektif ditetapkan selain kemudahan tidak disalah guna pihak luar.